Pages

Friday, May 6, 2011

GAM DAGING - AWAS


Kita sering mendengar makanan kegemaran ramai nasi beriani gam, tapi tidak pernah pula kita mendengar Gam Daging.

TV Australia telah mendedahkan bagaimana sejenis gam digunakan oleh pembekal-pembekal daging untuk menjual cebisan daging atau daging kecil yang kemudiannya dilekatkan menggunakan gam tersebut.

Gam ini tidak diluluskan penggunaannya di sesetengah Negara tetapi di Australia belum ada undang-undang yang menegahnya.

Pembekal yang menggunakan gam tersebut membungkus daging-daging kedalam plastik dan apabila dijual di pasaran daging tersebut kelihatan seperti seketul daging besar biasa.

Untuk maklumat lanjut sila layari link berikut:

http://au.todaytonight.yahoo.com/article/8989315/consumer/meat-glue

Wednesday, May 4, 2011

DEMAM DENGGI – MINUM JUS BUAH KIWI


Sepasang suami isteri yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini kerana dijangkiti demam denggi ingin berkongsi pengalaman mereka setelah pulih dari penyakit tersebut.

Suami mendapat demam panas yang tinggi, menggigil, loya, ruam dan merasa sakit seluruh badan sementara isteri pula selain demam dan sakit seluruh badan sentiasa muntah, dan ruam yang agak lebih teruk lagi.

Kiraan platlet suami turun ke 18 dan terpaksa membuat pemindahan darah manakala isteri berada dalam keadaan lebih baik dan tidak perlu berbuat demikian.

Melalui nasihat sahabat andai mereka memakan sup ketam, dan juga minuman kesihatan yang baik untuk pesakit denggi, tetapi tidak berkesan kepada mereka.

Seorang jururawat telah mencadangkan agar mereka minum jus buah kiwi. Secara kebetulan malam itu hidangan makan disertakan dengan jus dan buah tersebut sekali.

Keesokannya kiraan platlet suami naik hingga 82, manakala kiraan isteri bertambah dari 150 ke 169. Mereka diizinkan pulang tetapi setelah dua hari di rumah isteri mengalami gangguan kesihatan lagi dan pergi semula ke hospital, kiraan platlet turun semula ke 141. Dengan desakan suami agar terus minum jus kiwi, platlet beliau naik ke 300 dua hari kemudian.

Pengalaman ini kemudiannya dikongsikan dengan makcik mereka yang mendapat demam denggi. Ditakdirkan, sehari selepas minum jus tersebut kiraan platlet meningkat dari 76 ke 170.

InsyaAllah, usaha kita ialah mencari ubat, yang menyembuhkan Allah subhanahuwataala jua.

(Dari email CTT: Untuk mengetahui hasiat buah kiwi, sila layari link berikut):

http://health-care.eu/health-benefits-of-raw-kiwi-fruit-juice

Monday, May 2, 2011

OSAMA – 2011 BERAKHIR SATU BURUAN


Kejadian 11 September 2001 yang memusnahkan World Trade Centre New York telah menyebabkan umat Islam jadi cemuhan lantas dituding dengan keganasan. Sebagai kaum minoriti di Negara besar seperti Amerika, Australia dan sesetengah Negara Eropah masyarakat Islam jadi hamunan, imej Islam tercalar.

Untuk menjaga hati pemimpin Negara Islam dan untuk mengatasi pergolakan anti Islam di Negara mereka, pemimpin Barat meneliti semula cemuhan mereka. Mereka tidak lagi menyebut Islam secara umum, keganasan mula diselarikan dengan ‘kumpulan ekstrim Islam’.

Kumpulan Ekstrim Islam dilekatkan dengan label khas yang jelas iaitu ‘pengganas’. Mendahului senarai pengganas ini tidak lain Osama bin Laden. Beliau menjadi buruan utama Amerika dan ‘menghalalkan’ kehadirannya di bumi Afghanistan untuk menjejaki Osama. Kejadian 11 September perlu dibalas.

Setelah hampir sepuluh tahun jadi buruan, Osama Bin Laden akhirnya mati ditembak tentera Amerika di sebuah pekan bernama Abbotabad kira-kira 50 batu dari ibu Negara Pakistan. Rumah yang didiaminya itu hanya beberapa ratus meter dari Akademi Tentera Pakistan. Jenazahnya dikebumikan di lautan agar kuburnya tidak dijadikan makam pujaan.

Kini, semua pejabat kedutaan Amerika diarah berada dalam keadaan berjaga-jaga. Mungkin pengganas atau Al Qaeda bertindak segera. Dari kenyataan rasmi yang dikeluarkan, setakat ini hanya Hamas yang mengiktiraf Osama sebagai wira, manakala ramai rakyat Pakistan tidak mempercayai Osama sudah tiada.

Adakah selepas ini setiap pintu masuk lapangan terbang (terutama di Negara barat) menjadi lebih ‘ketat’ dengan pemeriksaan terhadap umat Islam berbanding sebelum ini?

Atau adakah selepas ini imej umat Islam sudah boleh disamak daripada terus di gelar pengganas.

Sunday, May 1, 2011

BERKONGSI LEBIH BAIK DARI MEMINTA

Seoarang sahabat dari Singapura menghantar email yang bertajuk ‘The Power of Words’. Bersama email tersebut dikembarkannya video youtube dengan tajuk yang dinyatakan.

Kandungannya agak menyentuh hati. Ia sungguh berkesan kerana mesej yang ditulis mengingatkan semua betapa besarnya nikmat yang diberikan oleh Allah subhanahuwataala hanya dengan ‘melihat’.

Di adegan awal video tersebut watak utama hanya mengadu keadaannya dan terus meminta bantuan melalui mesej bertulis. Dengan bantuan seorang hamba Allah yang lain mesej yang sama ditulis semula dengan ayat yang lebih indah.

Keindahan mesej inilah yang menyentuh hati ‘pembaca’, bukan sahaja yang apa dituliskan itu indah, tetapi ia meliputi segala ciptaan Allah swt. Dan keindahan itu terletak dalam ‘hati’ manusia.

LEBIH SEJUTA KERJA DI LUAR NEGARA


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita dari Bank Dunia iaitu lebih dari satu juta rakyat Malaysia bekerja di luar Negara. Sejumlah besar iaitu kira-kira 54% kini berada di Singapura.

Pada ketika Negara memerlukan lebih tenaga pekerja mahir, berkelulusan dan ‘berbakat’ untuk menjana ekonomi negara, kita menghadapi suasana apa yang dipanggil ‘brain drain’.

Mungkin di antara faktor utama mereka bekerja di luar Negara ialah pendapatan yang lebih tinggi, peluang pembangunan kerjaya yang lebih baik, atau ada faktor yang lebih berat seperti tidak tahan diskriminasi (seperti diskriminasi kaum) jika bekerja di negara sendiri.

Kilanan atau ‘grievance’ pekerja jika tidak diambil berat oleh majikan sering menjadi penyebab utama pemberhentian pekerjaan atau mencari kerja lain.

Kita kerap mendengar keluhan para pekerja yang menuntut agar dibayar gaji yang lebih baik/tinggi. Dalam usaha majikan berlumba-lumba untuk ‘membesarkan’ keuntungan adakah kebajikan pekerja diambiberat?

Kebajikan pekerja meliputi semua aspek, dari jumlah gaji yang mereka terima untuk menyara keluarga, masa berkualiti yang diperuntukkan bersama keluarga hinggalah program pembangunan dan polisi perkhidmatan yang boleh meransang para pekerja.

Perkara ini jika tidak dibendung akan menjadi masalah yang berat dalam usaha untuk membangunkan Negara. Kita tidak sama dengan Indonesia atau Phillipine yang punyai ramai penduduk. Yang sama ialah setiap manusia punyai ‘keperluan’. Adakah ‘keperluan’ ini mencukupi atau dipenuhi?

Pos Popular Minggu ini