Pages

Friday, June 24, 2011

HANTU JADI TARIKAN PELANCONG


Pada lewat tahun 90an dulu saya kerap masuk ke Taman Negara bersama rakan-rakan pacuan 4 roda, dan setiap kali kami melintasi satu tempat di tengah-tengah hutan di Endau-Rompin, kami tetap diingatkan di kawasan itu agak ‘keras’ kerana dihuni oleh masyarakat ‘orang halus’.

Kawan saya yang berasal dari Kluang pernah mencadangkan agar kita beramai-ramai pergi mengunjungi dan ‘melihat’ keluarga orang halus ini dengan bantuan seorang bomoh yang biasa berhubung dengan masyarakat itu.

Setelah kami mengumpul sejumlah wang untuk dibayar kepada bomoh yang dimaksudkan itu rancangan kami terbatal kerana bos kumpulan kami tidak mahu meneruskan rancangan takut-takut orang halus itu ikut pulang ke rumah kami. Bagi bos kami itu orang halus ke, hantu ke serupa sahaja baginya.

Beberapa bulan kemudian kami membawa pemilik sebuah pusat pelancongan (resort) berjumpa bomoh tersebut dengan tujuan untuk membawa masyarakat ‘orang halus’ ini berpindah berhampiran resort beliau untuk dijadikan sebagai tarikan pelancong.

Menurut bomoh tersebut, memindahkan beberapa keluarga ‘orang halus’ ke tempat baru tidak jadi masalah, tetapi yang menjadi masalah ialah tidak ada jaminan ‘orang halus’ ini akan ‘menzahirkan’ diri mereka setiap kali pelancong ingin melihatnya.

Oleh kerana tiada jaminan ‘orang halus’ dapat dilihat setiap pelancong, pemilik resort tersebut membatalkan hasratnya.

Hari ini saya tertarik dengan berita kerajaan negeri Sabah ingin mengadakan perayaan kebudayaan dengan mengutarakan makhluk mitos untuk tujuan menarik pelancong.

Dengan bertambahnya minat terhadap makhluk ghaib dan hantu sudah pasti keupayaan mana-mana pihak menzahirkan makhluk ghaib atau hantu ke khalayak ramai akan menjadikan projek ini projek yang berjaya. Ia pasti akan mengatasi projek-projek pelancongan lain seperti pelancongan perubatan atau sekadar membeli-belah.

Rancangan kerajaan negeri Sabah ini menarik minat ramai ‘pencari-pencari hantu’. Kalau sekadar memakai topeng hantu sahaja ia akan dianggap dogengan semata-mata. Yang pastinya jika hantu tersebut dapat dijelmakan, Sabah akan menerima kunjungan ramai pelancong dari dalam dan luar Negara.

Dan jika pengusaha berjaya menzahirkan hantu-hantu itu di khalayak ramai, pengusaha harus juga berupaya mengelakkan pengunjung dari dirasuk hantu. Jangan sekadar menayangkan, mesti juga pandai jaga keselamatan awam.

Kita tidak mahu rakyat Sabah khasnya dan rakyat Malaysia amnya jadi rakyat yang dirasuk hantu.

Berita projek hantu Sabah boleh dibaca di link berikut:
http://www.theborneopost.com/2011/06/23/ghost-tourism-mulled/

Saturday, June 18, 2011

HP SAUCE, TABASCO PEPPER SAUCE ada DNA BABI?


Email yang saya terima kelmarin mengingatkan kita supaya jangan lagi menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce kerana penemuan DNA babi dalam produk berkenaan. Email tersebut memetik laporan yang telah tersiar dalam akhbar Utusan.

Akhbar tersebut melaporkan arahan yang dikeluarkan oleh Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengarahkan penjual atau pengedar yang mempunyai sijil Halal produk tersebut menukarnya kepada produk lain yang memiliki sijil halal berikutan penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam produk berkenaan.

Turut dilaporkan, dalam kenyataan berasingan, Jakim memberitahu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi Syarikat Lucky Food Processing Sdn. Bhd., ditarik balik berkuat kuasa serta-merta berikutan penemuan DNA babi dalam produk Chicken Burger Patties dan Chicken Taiwan Sausage keluarannya.

Laporan penuh seperti berikut:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm

Semalam, BERNAMA telah melaporkan kenyataan dari pemilik produk di atas yang menyangkal dakwaan tersebut.

Pemilik produk-produk tersebut HJ Heinz and Mclhenny Co. menyatakan bahawa kedua-dua produk itu telah mematuhi peraturan pensijilan. HP Sauce telah disahkan Halal oleh HAC (Halal Audit Company), pihak berkuasa pensijilan Islam di Belanda, tempat produk itu dikilangkan.

Manakala Tabasco dilaporkan telah mendapat pensijilan Halal oleh INFANCA (Majlis Nutrisi & Makanan Islam Amerika) yang mendapat akreditasi dari Jakim mengesahkan produk itu bagi pihaknya.

Laporan penuh BERNAMA di link berikut:
http://bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=594856

Sama-sama kita nantikan kenyataan Jakim selanjutnya.

Thursday, June 16, 2011

CURI-CURI $-MALAYSIA


Di antara slogan-slogan yang pernah diteriakkan oleh pemimpin di negara kita ialah ‘Kepimpinan Melalui Teladan’. Slogan yang cepat dibangunkan di atas sepanduk-sepanduk di tepi jalan satu ketika dahulu cepat pula digantikan dengan slogan yang lebih hebat seperti “Bersih, Cekap dan Amanah”.

Zaman sudah berubah, slogan demi slogan terus berubah-ubah, yang tidak berubah ialah sikap pemimpin dalam menangani dan memelihara khazanah rakyat.

Menteri dilantik bagi memastikan Kementerian masing-masing berfungsi dengan baik dan efisyen untuk memakmur dan memelihara kebajikan rakyat dan Negara. Maka Menteri harus faham bahawa mereka adalah pemegang amanah untuk rakyat.

Mereka diberi peruntukkan untuk berbelanja dengan cekap (ini bukan slogan), berbelanja pada kadar yang boleh membawa pulangan yang menguntungkan, dan berbelanja pada jumlah yang boleh difahami rakyat dan bukan mencurigakan.

Apabila Kementerian Pelancongan membelanjakan sejumlah hampir RM 1.8juta untuk promosi Cuti-Cuti 1Malaysia, di dalam facebook, yang boleh dibuat secara percuma, perbelanjaan sedemikian sudah tentu dianggap kurang wajar. Setakat ini penjelasan Menteri sukar diterima dan beliau bertanggungjawab memberikan jawapan yang lebih baik berhubung perbelanjaan ini. Walaupun melantik konsultan, biarlah belanja dengan berpadan.

Reaksi rakyat terhadap laman facebook “Cuti-Cuti 1Malaysia” kini jelas ditentang melalui laman facebook “Curi-Curi Wang Malaysia”…. kami menuntut agar wang rakyat dikembalikan.

Laman tersebut boleh diakses menerusi
https://www.facebook.com/pages/Curi-curi-Wang-Malaysia

Wednesday, June 15, 2011

MUNAFIK – RAMAI PEMIMPIN BERCAKAP BOHONG


Pemimpin tidak bermoral pasti akan menjahanamkan Negara. Dan lebih mengaibkan lagi kepada kita apabila pemimpin itu beragama Islam.

Sebelum ini saya menulis tajuk “Rasuah – Islam dalam Kepuraan”. Kita melihat betapa rakusnya pemimpin Negara Islam sehinggakan NGO antarabangsa yang membuat penilaian berhubung amalan rasuah mendapati tiada satu pun Negara Islam yang dinilai ‘bersih’ berada dalam kelompok 10% teratas.

Dari 178 negara yang di’nilai’, Malaysia menduduki tempat ke 56. Sementara Denmark, New Zealand dan Singapura menduduki tangga teratas, bersih dari amalan rasuah.

Negara Islam meleset bukan kerana Islam itu agama mundur seperti cemuhan setengah pihak. Bukan kerana faktor ekonomi yang menggambarkan umat Islam dalam kemiskinan dan melarat, dan bukan kerana Islam menentang kemajuan.

‘Negara Islam’ dan umat Islam terkebelakang kerana rakyat telah membuat salah pilihan.Apabila rakyat gagal menangani perubahan, maka keadaan tak akan berubah.

Umat Islam seharusnya lebih arif kerana ramai yang mengaku mengikut perintah AlQuran dan hadith. Tetapi kenapakah kita mengambil remeh soal memilih pemimpin?

Negara Islam ‘bercelaru’ kerana ramai pemimpinnya melakukan perkara-perkara apa yang Rasulullah sebutkan sebagai orang munafik.

ORANG MUNAFIK:

Terdapat 2 hadith yang berkenaan dengan perkara ini ;

1) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru r.a katanya :

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia khianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas…. Riwayat :

• Bukhari – Kitab Iman (Hadith no. 33)
• Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 88)
• Tirmizi – Kitab Iman (Hadith no. 2556)
• Nasaie – Kitab Iman Dan Syariat-syariatnya (Hadith no. 4934)
• Abu Daud – Kitab Sunnah (Hadith no. 4068)
• Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 2 (Muka Surat 189, 198 & 200)

2) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya :

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya…. Riwayat :

• Bukhari – Kitab Iman (Hadith no. 32)
• Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 89)
• Tirmizi – Kitab Iman (Hadith no. 2555)
• Nasaie – Kitab Iman Dan Syariat-syariatnya (Hadith no. 4935)
• Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 2 (Muka Surat 357, 397 & 536)

Rujukan:
http://www.forumhadith.com/bab-tabiat-orang-munafik.html

Sunday, June 12, 2011

RASUAH – ISLAM DALAM KEPURAAN


Umat Islam pastinya di antara pelakon yang paling hebat di muka bumi Allah ini. Ucapan dua kalimah syahadat dilafazkan kerana mengikut jejak langkah ibu-bapanya dahulu. Masuk waktu solat, ada yang solat, ada yang tidak. Tiba bulan puasa, ramai berpuasa, ramai juga yang tidak. Ada yang hanya membayar zakat fitrah dan tidak pula membayar zakat selainnya. Apabila tiba musim haji, berjuta-juta manusia ke tanah suci untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini.

Pada waktu dunia memerhatikan kehebatan umat Islam melaksanakan rukun-rukun yang diperintah Allah swt ini, dunia juga dapat memerhatikan bagaimana umat Islam, tentunya bukan berlakon, hebat membunuh sesama sendiri, hidup dalam kemiskinan dan kemelaratan, dan gagal memartabatkan Islam sebagai agama yang cintakan kedamaian.

Yang ketara lagi nyata ialah, umat Islam dilekakan oleh pemimpin mereka yang rakus membolot kekayaan Negara, menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri sendiri dan keluarga. Dan ianya berlaku di setiap Negara yang ramai umat Islam, dan dipimpin oleh orang Islam.

Tidakkah umat Islam merasa malu atau sedih apabila organisasi barat membuat penilaian prestasi setiap Negara setiap tahun termasuk dalam perihal moral seperti amalan rasuah, dan mendapati Negara yang ramai umat Islam berada di tempat terbelakang?

Umum mengetahui iaitu dari 178 negara yang dibuat penilaian BERSIH DARI AMALAN RASUAH, tiada satu pun ‘Negara Islam’ berada di tempat kesepuluh teratas. Yang terbaik ialah Qatar, itu pun menduduki tempat ke 19 dan Malaysia yang pernah disebut-sebut sebagai ‘contoh Negara Islam’ berada di tempat ke 56, turun dari tempat ke 47 berbanding tahun sebelumnya.

Pada ketika pemimpin Melayu sibuk memperkatakan tentang ‘Perpecahan Melayu’, pemimpin yang sama ini jugalah yang menggadai nama baik Islam dengan mengenepikan perintah Allah swt yang menuntut agar mereka lebih telus, adil dan wibawa.

Pada ketika pemimpin Melayu memilih-milih siapa yang patut didakwa dimahkamah kerana rasuah, tidak cukup dengan wang ringgit, kini rakyat di’rasuah’ pula dengan video lucah percuma, diedarkan juga melalui internet, yang sudah tentu bukan sahaja boleh ditonton di rumah, malah sudah tentu boleh ditonton di bengkel komputer di sekolah.

Bilakah agaknya umat Islam akan berubah? Musuh Islam paling besar waktu ini ialah umat Islam itu sendiri. Pemimpin yang rakus, yang secara terbuka mengamalkan ‘politik wang’, yang hanya mementingkan diri sendiri, yang berselindung atas nama membela bangsa, tidak akan mendapat tempat sekiranya rakyat menolaknya.

Dan pada ketika orang bukan Islam sudah boleh menolak amalan batil yang ditegah Islam, umat Islam masih hanyut dan masih tertipu dengan pemimpin yang hanya memakai nama Islam.

Sementara Allah swt masih mengurniakan kita nyawa, dan demi masa depan anak-anak kita, marilah kita membuat perubahan, bersama-samalah kita jadi umat Islam yang lebih bertanggungjawab.

(Malaysia di tempat 56, Denmark, N.Zealand dan S’pura di tangga terbaik, rujuk link berikut:)
http://procentus.wordpress.com/2011/02/10/the-2010-world-corruption-index-by-country/

Pos Popular Minggu ini