Pages

Tuesday, May 24, 2011

SINGA + HARIMAU = SINIMAU


Kita biasa dengar haiwan yang dipanggil selembu, iaitu kacukan antara seladang dan lembu. Tetapi pernahkah kita melihat haiwan kacukan antara Singa dan Harimau?

Penyatuan di antara singa jantan dan harimau betina lazimnya berlaku di kebun binatang (zoo) iaitu apabila mereka dibiarkan bebas bersama. Hasil kacukan ini dipanggil ‘ligers’ iaitu kata-kata ciptaan antara ‘lion’ dan ‘tiger’.

Baru-baru ini empat ekor ‘ligers’ lahir di Xixiakao Wildlife Zoo, China tetapi hanya dua ekor yang masih hidup.

Selepas beberapa hari menyusukan anaknya, sang harimau meninggalkan tanggungjawabnya, dan tugas untuk menyusukan anak-anak ‘ligers’ yang masih hidup ini diambil alih oleh seekor anjing. Anjing tersebut secara kebetulan baru melahirkan anak-anaknya sendiri.



Pada awalnya memang ada sedikit masalah penyesuaian, tetapi anak-anak ligers ini kemudiannya serasi juga dengan ibu angkatnya.

Singa dan harimau walaupun dari spesies berlainan, mereka didapati berupaya membiak bersama.

(Berita dan gambar dipetik dari BBC News)

KANAK-KANAK 6 TAHUN – HIDUP BERSEORANGAN


Menjadi yatim piatu pada umur yang masih kecil, ibu bapanya meninggal dunia akibat penyakit AIDS. Ah Long yang baru berumur 6 tahun juga disahkan membawa kuman HIV.

Dia kini tinggal berseorangan, membasuh, memasak, belajar dan menternak ayam bersendirian.

Hanya neneknya yang berumur 84 tahun yang kerap datang ke rumahnya memasakkan makanan untuknya.

Dia tinggal di rumah peninggalan ibu-bapanya di sebuah kampung di kaki Gunung Malu, Liuzhou di Provinsi Guangxi, China.

Berdekatan rumah ini neneknya menanamkan sayur-sayuran untuknya.

Ah Long tidak tahu tentang AIDS. Yang nyata kawan-kawanya tidak mahu mendekatinya lagi, doktor tidak mahu merawat lukanya, dan satu-satunya keluarga yang ada ialah neneknya, yang juga tidak berani tinggal serumah dengannya.

Turut menyedihkan ialah Ah Long tidak dibenarkan hadir di sekolah yang berdekatan dengan kampungnya.

Satu-satunya kawan yang mendampingi Ah Long ialah seekor anjing yang bernama Lao Hei.


Bukan sahaja pihak sekolah yang meminggirnya, Jabatan kebajikan masyarakat juga tidak dapat menjaga Ah Long akibat komplikasi yang disebabkan penyakit AIDS itu.

Beliau hanya diberikan 70 yuan (RM33) sebulan sebagai elaun sara hidup dari biro kerajaan, yang sudah tentu tidak mencukupi untuk menyara hidup Ah Long.

Setelah mendapat liputan meluas dari akhbar-akhbar Negara China, ada warga prihatin yang menyuarakan hasrat untuk memelihara Ah Long, tetapi masih belum menjadi kenyataan.

(Berita dan gambar di atas dipetik dari ‘dailychilli.com’)

Monday, May 23, 2011

KANAK-KANAK GENIUS - AHLI BEDAH BERUMUR 7 TAHUN


Lahir pada 23 April 1993, menurut ibunya Akrit Jaswal sudah mula bertutur pada umur 10 bulan dan membaca buku Shakespeare pada umur 5 tahun.

Pada usia yang kecil lagi beliau meminati sains dan anatomi sehinggakan doktor di daerahnya membenarkan Akrit memerhatikan pembedahan yang dibuat dihospital pada usia beliau baru 6 tahun.

Beliau dilaporkan mempunyai IQ pada kiraan 146 dan dianggap yang paling tinggi dalam golongan umurnya di seluruh India. Beliau mendapat gelaran sebagai ‘genius perubatan’ dalam masyarakatnya.

Kepintaran beliau tersebar luas, dan pada umur 7 tahun beliau diberitakan menjalankan satu pembedahan ke atas jari seorang kanak-kanak perempuan berumur 8 tahun.

Bapa kanak-kanak perempuan itu seorang gembala dan tidak mampu membayar kos pembedahan di hospital. Dengan bantuan Akrit jari yang yang melekat simpul akibat kejadian kebakaran dibedah dengan jayanya.

Pada usia 12 tahun beliau mendapat tajaan mengikuti ijazah sains di Kolej Chandigarh, pelajar termuda di Universiti India.

Walaupun kini terkenal beliau tidak gugup berhadapan dengan para menteri dan wartawan media. Apabila bertemu orang awam berlainan pula keadaannya. Mereka yang datang menemuinya seolah-olah datang mengadap seorang doktor atau tabib. Pelbagai masalah penyakit dan perubatan dihadapkan kepadanya untuk penyelesaian. Dia dianggap bagaikan ‘guru’ dan dalam masyarakat India setiap pemaslahan tidak lari dari dimensi kerohanian.

Beliau begitu fokus untuk menceburi bidang perubatan dan benar-benar mempercayai satu hari kelak akan menemui ubat untuk menyembuh penyakit kanser.

(Anda boleh rujuk link berikut) :
http://www.mymultiplesclerosis.co.uk/misc/akritjaswal.html

Friday, May 20, 2011

HARI KIAMAT 21MEI 2011


Seorang ‘evangelis’ California Harold Camping, 89 tahun meramalkan Nabi Isa akan turun ke dunia pada 21hb Mei 2011, dan membawa naik pengikutnya ke syurga pada hari ini.

Menurut beliau kandungan bible menyatakan satu gempa bumi besar akan berlaku pada hari ini menandakan bermulanya hari kiamat, dan mereka yang tidak mempercayai ajaran ini akan semua terkorban selewat-lewatnya 21 Oktober tahun ini.

Beliau pernah membuat ramalan yang sama pada tahun 1994, namun menurut pengikut beliau itu adalah ramalan permulaan sahaja.

Dari kajian beliau bible menyatakan tuhan merancang untuk menyelamatkan sekitar 200 juta manusia, seperti yang disebut dalam rangkaian websitenya, Family Radio Worldwide.

Walaupun menerima kritikan dari penganut-penganut kristian lain, beliau begitu yakin bahawa ‘hari penghisaban’ telah tiba.

Pada hari Sabtu ini beliau dan isterinya akan duduk disisi tv dan radio untuk mula mengikuti perkembangan seluruh dunia.

Kempen beliau ini telah mendapat liputan yang luas sehinggakan ada satu kaum di Vietnam yang bersempadan dengan Laos membuat persiapan menantikan tarikh 21hb Mei ini.

Sementara itu kumpulan ateis Amerika membuat persiapan untuk membuat ‘parti’ untuk meraikan ketidakpercayaan mereka terhadap ramalan ini.

Kumpulan ateis adalah kumpulan yang tidak mempercayai kewujudan tuhan dan akan ‘berpesta’ sebagai reaksi balas terhadap ramalan tersebut.

Berita ini disedut dari link berikut:
http://www.bbc.co.uk/news/world-us-canada-13468131

Wednesday, May 18, 2011

WANITA PERTAMA MEMANDU DI SAUDI


Najla Hariri dilaporkan sebagai wanita pertama kerap memandu secara terbuka di bandaraya Jeddah, Arab Saudi.

Di dalam masyarakat di mana wanita hanya boleh keluar rumah dengan diiringi lelaki, wanita tidak dibenarkan memandu walaupun ada berita yang mengatakan jauh di perkampungan padang pasir sudah ada wanita yang berani berbuat demikian.

Beliau mempunyai lessen memandu yang diperolehinya dari negara Mesir dan Lebanon, dan lessen memandu antarabangsa dari Eropah yang digunanya semasa tinggal di luar Negara.

Perubahan yang sedang berlaku di negara-negara Arab mendorong beliau berbuat demikian. Minggu lalu beliau memberanikan diri memandu keretanya sendiri di bandaraya Jeddah dan tahu beliau boleh ditahan polis kerana memandu.

Ibu kepada lima orang anak ini mendapat sokongan dari suami serta galakan dari anak-anak perempuannya serta kawan-kawan anaknya.

Protes jalanan yang hebat berlaku di negara-negara jiran telah meransang wanita Saudi untuk sama-sama menuntut perubahan. Melalui facebook mereka berpakat serta menggalakkan wanita keluar beramai-ramai memandu kereta pada 17hb. Jun ini.

Mereka juga menuntut agar wanita dibenarkan mengundi di Majlis Perbandaran serta dibenarkan menandatangani surat perjanjian.

Aalia, seorang pelajar Universiti berumur 19 tahun giat mengatur beberapa program melalui internet, katanya “ kami menumpukan kepada penyebaran maklumat agar kaum wanita memahami hak-hak mereka”

(Dipetik dari berita berikut:) :-
http://www.bbc.co.uk/news/world-middle-east-13431562

Pos Popular Minggu ini