Pages

Friday, June 24, 2011

HANTU JADI TARIKAN PELANCONG


Pada lewat tahun 90an dulu saya kerap masuk ke Taman Negara bersama rakan-rakan pacuan 4 roda, dan setiap kali kami melintasi satu tempat di tengah-tengah hutan di Endau-Rompin, kami tetap diingatkan di kawasan itu agak ‘keras’ kerana dihuni oleh masyarakat ‘orang halus’.

Kawan saya yang berasal dari Kluang pernah mencadangkan agar kita beramai-ramai pergi mengunjungi dan ‘melihat’ keluarga orang halus ini dengan bantuan seorang bomoh yang biasa berhubung dengan masyarakat itu.

Setelah kami mengumpul sejumlah wang untuk dibayar kepada bomoh yang dimaksudkan itu rancangan kami terbatal kerana bos kumpulan kami tidak mahu meneruskan rancangan takut-takut orang halus itu ikut pulang ke rumah kami. Bagi bos kami itu orang halus ke, hantu ke serupa sahaja baginya.

Beberapa bulan kemudian kami membawa pemilik sebuah pusat pelancongan (resort) berjumpa bomoh tersebut dengan tujuan untuk membawa masyarakat ‘orang halus’ ini berpindah berhampiran resort beliau untuk dijadikan sebagai tarikan pelancong.

Menurut bomoh tersebut, memindahkan beberapa keluarga ‘orang halus’ ke tempat baru tidak jadi masalah, tetapi yang menjadi masalah ialah tidak ada jaminan ‘orang halus’ ini akan ‘menzahirkan’ diri mereka setiap kali pelancong ingin melihatnya.

Oleh kerana tiada jaminan ‘orang halus’ dapat dilihat setiap pelancong, pemilik resort tersebut membatalkan hasratnya.

Hari ini saya tertarik dengan berita kerajaan negeri Sabah ingin mengadakan perayaan kebudayaan dengan mengutarakan makhluk mitos untuk tujuan menarik pelancong.

Dengan bertambahnya minat terhadap makhluk ghaib dan hantu sudah pasti keupayaan mana-mana pihak menzahirkan makhluk ghaib atau hantu ke khalayak ramai akan menjadikan projek ini projek yang berjaya. Ia pasti akan mengatasi projek-projek pelancongan lain seperti pelancongan perubatan atau sekadar membeli-belah.

Rancangan kerajaan negeri Sabah ini menarik minat ramai ‘pencari-pencari hantu’. Kalau sekadar memakai topeng hantu sahaja ia akan dianggap dogengan semata-mata. Yang pastinya jika hantu tersebut dapat dijelmakan, Sabah akan menerima kunjungan ramai pelancong dari dalam dan luar Negara.

Dan jika pengusaha berjaya menzahirkan hantu-hantu itu di khalayak ramai, pengusaha harus juga berupaya mengelakkan pengunjung dari dirasuk hantu. Jangan sekadar menayangkan, mesti juga pandai jaga keselamatan awam.

Kita tidak mahu rakyat Sabah khasnya dan rakyat Malaysia amnya jadi rakyat yang dirasuk hantu.

Berita projek hantu Sabah boleh dibaca di link berikut:
http://www.theborneopost.com/2011/06/23/ghost-tourism-mulled/

Pos Popular Minggu ini