Pages

Tuesday, June 28, 2011

NAK JIMAT MINYAK?


Harga minyak belum tentu turun, yang pasti ia akan naik. Kalau masih nak bergaya, anda boleh guna kereta kecil dan masih boleh bergaya. Bukan sekadar kecil, pilih yang comel-comel dan berjenama terkenal.

Kawan sekolah menghantar email pagi ini mengirim gambar-gambar berikut dengan mesej ‘Senyuman Minggu Ini’. Semuanya bermula dengan pengenalan THE SMART CAR di atas, diikuti

THE SMORVETTE


THE SMAUDI A3 AWD 2



THE SMAMBORGHINI



THE SMORSCHE


THE SMERRARI


Dan kalau nak lebih jimat minyak lagi, pilihlah

THE SMUSTANG



SENYUM, JANGAN TAK SENYUM – ia latihan untuk bersedekah ….

Sunday, June 26, 2011

ADA YANG TAK BERUBAH


Hari ini berlangsung Marathon Kuala Lumpur, pelumba dari dalam dan luar Negara mengejar ke garisan penamat bertempat di Dataran Merdeka.

Kami ke Kuala Lumpur pagi ini bukan untuk ambil bahagian atau melihat marathon tetapi untuk menuju ke Wisma Yakin membuat baju Raya. Kenapa buat awal sangat, puasa pun belum lagi. Jangan tunggu nak puasa kerana tukang jahit sudah menerima banyak tempahan dan garisan penamat untuk tempahan dah tak lama lagi. Takut nanti ada yang siap lepas raya pulak.

Seperti biasa apabila ke KL tempat yang mudah meletak kenderaan ialah di kawasan berdepan dengan balai Polis Dang Wangi. Hari ini banyak pula jalan di KL yang tutup, mujurlah ada polis yang baik hati membenarkan kami masuk ke kawasan ini. Mungkin ada yang merasa sedikit jauh nak berjalan ke Wisma Yakin dari situ, tapi bagi yang jarang-jarang ke KL mengeluarkan sedikit peluh di pagi Ahad bukanlah satu masalah.

Setelah turun kenderaan kami berjalan menuju Kompleks Campbell dan mengambil lorong belakang Jalan Tunku Abdul Rahman menghala ke Masjid India. Lorong ini laluan kebiasaan kami kerana ia tidak sesak seperti jalan utama. Tetapi di bulan puasa dan bila ada pasar malam, lorong ini sesak dengan ribuan pengunjung.

Tidak seperti Ahad-ahad lain yang pernah kami kunjungi, hari ini lorong di atas agak lengang. Amat ketara ialah sampah-sampah yang terbiar di tepi jalan dari pagi hingga ke tengah hari. Tidak kelihatan seorang petugas pun yang menyapu sampah sepanjang kami berada di kawasan tersebut.

Di beberapa sudut jalan memang ada tong-tong sampah yang tergantung di tiang, tapi sampah masih tetap di atas jalan. Tong-tong tersebut masih berbadan tegap, tetapi tidak ada serinya lagi kerana ruang mangkuk tempat membuang puntong rokok sudah lopong ternganga.

Dengan sampah di sepanjang jalan, tong-tong-tong sampah tidak terjaga, lantai jalan bagaikan berlumut, lorong belakang jalan Tunku Abdul Rahman ini sudah tidak ada serinya lagi. Di lorong yang sama ini juga terdapat beberapa hotel yang dihuni pelancong dari dalam dan luar negara.

Pada ketika kita hebat membuat promosi pelancongan, apakah gambaran sebenarnya yang hendak kita tawarkan kepada pelancong-pelancong yang mengunjungi kawasan ini. Sekadar untuk membeli-belah?

Kami sempat mengunjungi sebuah gedung borong terkemuka tanahair yang mempunyai rangkaian di seluruh negara. Ia terletak tak jauh dari Wisma Yakin. Kelihatan juga pelancong asing memasuki gedung ini. Oleh kerana gedung ini agak terkemuka dan milik orang Islam pulak tu, kami pun rasa selesa hendak menggunakan tandas awamnya.

Hebatnya gedung 3 tingkat ini, tandas awamnya hanya satu terletak di aras bawah. Menaiki sedikit tangga, pengunjung berbaris di depan pintu tandas. Bukan satu, ada dua tandas di dalamnya. Satu dengan pintu yang tidak boleh ditutup dan satu lagi dengan pengepam yang tidak berfungsi. Oleh kerana hajat dah terlalu kuat, terpaksa jugalah terus ke dalam.

Wajah Kuala Lumpur sudah banyak berubah, kedai-kedai dan hotel-hotel lama sudah banyak diubahsuai, yang tak berubah ialah rakyat Malaysia; dalam hal kebersihan macam tu lagi.

Friday, June 24, 2011

CIKGU GILA-GILA, BUKAN GILA


Gila-gila bukan bererti gila. Cara Cikgu Shida membuat ‘miming’ ala tersendiri dalam youtube bukan kerja orang gila. Perlakuan gila-gilanya itu yang menghidupkan seni ‘miming’ ditonton lebih sejuta pengunjung pasti belum ada yang jadi gila.

Cikgu Shida sudah jadi artis popular di youtube. Lagu ‘Kalau Berpacaran’ nyayian Suhaimi Mior Hassan dan Ana Raffali dimuat-turun ke youtube bulan Oktober 2010 dan sehingga Jun 2011 ditontoni lebih 300 ribu pelayar internet. Manakala Cikgu Shida juga memuat-turun lagu yang sama sebulan kemudian, kini sudah ditontoni hampir 1.5juta pengunjung.

Cara kreatif Cikgu Shida diikuti ramai peminat, dan tidak kurang juga ada yang mencemuh kerana menganggap caranya keterlaluan. Dan ada yang mempersoalkan kewibawaan beliau sebagai seorang guru.

Cikgu Shida jangan khuatir. Masyarakat Melayu memang susah nak berubah. Kalau mereka tonton drama tv atau melihat lakonan yang kurang sopan, mereka terima itu sebagai satu lakonan sahaja. Tetapi apabila Cikgu melakonkan dengan cara yang ‘tergila-gila’ mereka pula menganggap cikgu tidak sopan.

Membuat sesuatu kelainan bererti cikgu telah memecah tradisi dari terus menjadi Pak Turut atau Pak Sanggup. Ramai Cikgu yang tidak pandai ambil hati anak murid dan ramai juga cikgu-cikgu yang lebih komited mengajar tuisyen di rumah dari mengajar dalam kelas sekolah.

Ramai orang Melayu lebih suka mengkritik, tetapi tidak suka dikritik, suka mengata pasal orang lain tapi tahu pula marah apabila dirinya dikata orang.

Oleh itu Cikgu Shida jangan khuatir, perbaikilah prestasi cikgu mencari pelbagai jalan bagaimana hendak memajukan anak bangsa. Cikgu perlu pandai memenangi hati anak-anak murid, dan cara Cikgu Shida adalah cara yang disenangi oleh mereka.

Kalau membuat kerja gila pasti orang akan kata kita gila. Apabila membuat cara gila-gila, apakah boleh dipanggil gila?

Sila tontoni Cikgu Shida:
http://www.youtube.com/watch?v=eOswFlzxIes

HANTU JADI TARIKAN PELANCONG


Pada lewat tahun 90an dulu saya kerap masuk ke Taman Negara bersama rakan-rakan pacuan 4 roda, dan setiap kali kami melintasi satu tempat di tengah-tengah hutan di Endau-Rompin, kami tetap diingatkan di kawasan itu agak ‘keras’ kerana dihuni oleh masyarakat ‘orang halus’.

Kawan saya yang berasal dari Kluang pernah mencadangkan agar kita beramai-ramai pergi mengunjungi dan ‘melihat’ keluarga orang halus ini dengan bantuan seorang bomoh yang biasa berhubung dengan masyarakat itu.

Setelah kami mengumpul sejumlah wang untuk dibayar kepada bomoh yang dimaksudkan itu rancangan kami terbatal kerana bos kumpulan kami tidak mahu meneruskan rancangan takut-takut orang halus itu ikut pulang ke rumah kami. Bagi bos kami itu orang halus ke, hantu ke serupa sahaja baginya.

Beberapa bulan kemudian kami membawa pemilik sebuah pusat pelancongan (resort) berjumpa bomoh tersebut dengan tujuan untuk membawa masyarakat ‘orang halus’ ini berpindah berhampiran resort beliau untuk dijadikan sebagai tarikan pelancong.

Menurut bomoh tersebut, memindahkan beberapa keluarga ‘orang halus’ ke tempat baru tidak jadi masalah, tetapi yang menjadi masalah ialah tidak ada jaminan ‘orang halus’ ini akan ‘menzahirkan’ diri mereka setiap kali pelancong ingin melihatnya.

Oleh kerana tiada jaminan ‘orang halus’ dapat dilihat setiap pelancong, pemilik resort tersebut membatalkan hasratnya.

Hari ini saya tertarik dengan berita kerajaan negeri Sabah ingin mengadakan perayaan kebudayaan dengan mengutarakan makhluk mitos untuk tujuan menarik pelancong.

Dengan bertambahnya minat terhadap makhluk ghaib dan hantu sudah pasti keupayaan mana-mana pihak menzahirkan makhluk ghaib atau hantu ke khalayak ramai akan menjadikan projek ini projek yang berjaya. Ia pasti akan mengatasi projek-projek pelancongan lain seperti pelancongan perubatan atau sekadar membeli-belah.

Rancangan kerajaan negeri Sabah ini menarik minat ramai ‘pencari-pencari hantu’. Kalau sekadar memakai topeng hantu sahaja ia akan dianggap dogengan semata-mata. Yang pastinya jika hantu tersebut dapat dijelmakan, Sabah akan menerima kunjungan ramai pelancong dari dalam dan luar Negara.

Dan jika pengusaha berjaya menzahirkan hantu-hantu itu di khalayak ramai, pengusaha harus juga berupaya mengelakkan pengunjung dari dirasuk hantu. Jangan sekadar menayangkan, mesti juga pandai jaga keselamatan awam.

Kita tidak mahu rakyat Sabah khasnya dan rakyat Malaysia amnya jadi rakyat yang dirasuk hantu.

Berita projek hantu Sabah boleh dibaca di link berikut:
http://www.theborneopost.com/2011/06/23/ghost-tourism-mulled/

Saturday, June 18, 2011

HP SAUCE, TABASCO PEPPER SAUCE ada DNA BABI?


Email yang saya terima kelmarin mengingatkan kita supaya jangan lagi menggunakan produk HP Sauce dan Tabasco Pepper Sauce kerana penemuan DNA babi dalam produk berkenaan. Email tersebut memetik laporan yang telah tersiar dalam akhbar Utusan.

Akhbar tersebut melaporkan arahan yang dikeluarkan oleh Pengarah Bahagian Hab Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang mengarahkan penjual atau pengedar yang mempunyai sijil Halal produk tersebut menukarnya kepada produk lain yang memiliki sijil halal berikutan penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) babi dalam produk berkenaan.

Turut dilaporkan, dalam kenyataan berasingan, Jakim memberitahu, Sijil Pengesahan Halal Malaysia bagi Syarikat Lucky Food Processing Sdn. Bhd., ditarik balik berkuat kuasa serta-merta berikutan penemuan DNA babi dalam produk Chicken Burger Patties dan Chicken Taiwan Sausage keluarannya.

Laporan penuh seperti berikut:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_05.htm

Semalam, BERNAMA telah melaporkan kenyataan dari pemilik produk di atas yang menyangkal dakwaan tersebut.

Pemilik produk-produk tersebut HJ Heinz and Mclhenny Co. menyatakan bahawa kedua-dua produk itu telah mematuhi peraturan pensijilan. HP Sauce telah disahkan Halal oleh HAC (Halal Audit Company), pihak berkuasa pensijilan Islam di Belanda, tempat produk itu dikilangkan.

Manakala Tabasco dilaporkan telah mendapat pensijilan Halal oleh INFANCA (Majlis Nutrisi & Makanan Islam Amerika) yang mendapat akreditasi dari Jakim mengesahkan produk itu bagi pihaknya.

Laporan penuh BERNAMA di link berikut:
http://bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=594856

Sama-sama kita nantikan kenyataan Jakim selanjutnya.

Thursday, June 16, 2011

CURI-CURI $-MALAYSIA


Di antara slogan-slogan yang pernah diteriakkan oleh pemimpin di negara kita ialah ‘Kepimpinan Melalui Teladan’. Slogan yang cepat dibangunkan di atas sepanduk-sepanduk di tepi jalan satu ketika dahulu cepat pula digantikan dengan slogan yang lebih hebat seperti “Bersih, Cekap dan Amanah”.

Zaman sudah berubah, slogan demi slogan terus berubah-ubah, yang tidak berubah ialah sikap pemimpin dalam menangani dan memelihara khazanah rakyat.

Menteri dilantik bagi memastikan Kementerian masing-masing berfungsi dengan baik dan efisyen untuk memakmur dan memelihara kebajikan rakyat dan Negara. Maka Menteri harus faham bahawa mereka adalah pemegang amanah untuk rakyat.

Mereka diberi peruntukkan untuk berbelanja dengan cekap (ini bukan slogan), berbelanja pada kadar yang boleh membawa pulangan yang menguntungkan, dan berbelanja pada jumlah yang boleh difahami rakyat dan bukan mencurigakan.

Apabila Kementerian Pelancongan membelanjakan sejumlah hampir RM 1.8juta untuk promosi Cuti-Cuti 1Malaysia, di dalam facebook, yang boleh dibuat secara percuma, perbelanjaan sedemikian sudah tentu dianggap kurang wajar. Setakat ini penjelasan Menteri sukar diterima dan beliau bertanggungjawab memberikan jawapan yang lebih baik berhubung perbelanjaan ini. Walaupun melantik konsultan, biarlah belanja dengan berpadan.

Reaksi rakyat terhadap laman facebook “Cuti-Cuti 1Malaysia” kini jelas ditentang melalui laman facebook “Curi-Curi Wang Malaysia”…. kami menuntut agar wang rakyat dikembalikan.

Laman tersebut boleh diakses menerusi
https://www.facebook.com/pages/Curi-curi-Wang-Malaysia

Wednesday, June 15, 2011

MUNAFIK – RAMAI PEMIMPIN BERCAKAP BOHONG


Pemimpin tidak bermoral pasti akan menjahanamkan Negara. Dan lebih mengaibkan lagi kepada kita apabila pemimpin itu beragama Islam.

Sebelum ini saya menulis tajuk “Rasuah – Islam dalam Kepuraan”. Kita melihat betapa rakusnya pemimpin Negara Islam sehinggakan NGO antarabangsa yang membuat penilaian berhubung amalan rasuah mendapati tiada satu pun Negara Islam yang dinilai ‘bersih’ berada dalam kelompok 10% teratas.

Dari 178 negara yang di’nilai’, Malaysia menduduki tempat ke 56. Sementara Denmark, New Zealand dan Singapura menduduki tangga teratas, bersih dari amalan rasuah.

Negara Islam meleset bukan kerana Islam itu agama mundur seperti cemuhan setengah pihak. Bukan kerana faktor ekonomi yang menggambarkan umat Islam dalam kemiskinan dan melarat, dan bukan kerana Islam menentang kemajuan.

‘Negara Islam’ dan umat Islam terkebelakang kerana rakyat telah membuat salah pilihan.Apabila rakyat gagal menangani perubahan, maka keadaan tak akan berubah.

Umat Islam seharusnya lebih arif kerana ramai yang mengaku mengikut perintah AlQuran dan hadith. Tetapi kenapakah kita mengambil remeh soal memilih pemimpin?

Negara Islam ‘bercelaru’ kerana ramai pemimpinnya melakukan perkara-perkara apa yang Rasulullah sebutkan sebagai orang munafik.

ORANG MUNAFIK:

Terdapat 2 hadith yang berkenaan dengan perkara ini ;

1) Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru r.a katanya :

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Ada empat perkara jika sesiapa yang mempunyai empat perkara tersebut, maka dia merupakan orang munafik. Sesiapa yang bersifat dengan salah satu daripadanya bererti dia bersifat kemunafikan, sehinggalah dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila membuat persetujuan dia khianati, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila berlaku pertikaian dia melampaui batas…. Riwayat :

• Bukhari – Kitab Iman (Hadith no. 33)
• Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 88)
• Tirmizi – Kitab Iman (Hadith no. 2556)
• Nasaie – Kitab Iman Dan Syariat-syariatnya (Hadith no. 4934)
• Abu Daud – Kitab Sunnah (Hadith no. 4068)
• Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 2 (Muka Surat 189, 198 & 200)

2) Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya :

Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah bersabda: Tanda-tanda orang munafik ada tiga perkara, iaitu apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia mengkhianatinya…. Riwayat :

• Bukhari – Kitab Iman (Hadith no. 32)
• Muslim – Kitab Iman (Hadith no. 89)
• Tirmizi – Kitab Iman (Hadith no. 2555)
• Nasaie – Kitab Iman Dan Syariat-syariatnya (Hadith no. 4935)
• Ahmad Ibnu Hambal – Kitab Juzuk 2 (Muka Surat 357, 397 & 536)

Rujukan:
http://www.forumhadith.com/bab-tabiat-orang-munafik.html

Sunday, June 12, 2011

RASUAH – ISLAM DALAM KEPURAAN


Umat Islam pastinya di antara pelakon yang paling hebat di muka bumi Allah ini. Ucapan dua kalimah syahadat dilafazkan kerana mengikut jejak langkah ibu-bapanya dahulu. Masuk waktu solat, ada yang solat, ada yang tidak. Tiba bulan puasa, ramai berpuasa, ramai juga yang tidak. Ada yang hanya membayar zakat fitrah dan tidak pula membayar zakat selainnya. Apabila tiba musim haji, berjuta-juta manusia ke tanah suci untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini.

Pada waktu dunia memerhatikan kehebatan umat Islam melaksanakan rukun-rukun yang diperintah Allah swt ini, dunia juga dapat memerhatikan bagaimana umat Islam, tentunya bukan berlakon, hebat membunuh sesama sendiri, hidup dalam kemiskinan dan kemelaratan, dan gagal memartabatkan Islam sebagai agama yang cintakan kedamaian.

Yang ketara lagi nyata ialah, umat Islam dilekakan oleh pemimpin mereka yang rakus membolot kekayaan Negara, menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri sendiri dan keluarga. Dan ianya berlaku di setiap Negara yang ramai umat Islam, dan dipimpin oleh orang Islam.

Tidakkah umat Islam merasa malu atau sedih apabila organisasi barat membuat penilaian prestasi setiap Negara setiap tahun termasuk dalam perihal moral seperti amalan rasuah, dan mendapati Negara yang ramai umat Islam berada di tempat terbelakang?

Umum mengetahui iaitu dari 178 negara yang dibuat penilaian BERSIH DARI AMALAN RASUAH, tiada satu pun ‘Negara Islam’ berada di tempat kesepuluh teratas. Yang terbaik ialah Qatar, itu pun menduduki tempat ke 19 dan Malaysia yang pernah disebut-sebut sebagai ‘contoh Negara Islam’ berada di tempat ke 56, turun dari tempat ke 47 berbanding tahun sebelumnya.

Pada ketika pemimpin Melayu sibuk memperkatakan tentang ‘Perpecahan Melayu’, pemimpin yang sama ini jugalah yang menggadai nama baik Islam dengan mengenepikan perintah Allah swt yang menuntut agar mereka lebih telus, adil dan wibawa.

Pada ketika pemimpin Melayu memilih-milih siapa yang patut didakwa dimahkamah kerana rasuah, tidak cukup dengan wang ringgit, kini rakyat di’rasuah’ pula dengan video lucah percuma, diedarkan juga melalui internet, yang sudah tentu bukan sahaja boleh ditonton di rumah, malah sudah tentu boleh ditonton di bengkel komputer di sekolah.

Bilakah agaknya umat Islam akan berubah? Musuh Islam paling besar waktu ini ialah umat Islam itu sendiri. Pemimpin yang rakus, yang secara terbuka mengamalkan ‘politik wang’, yang hanya mementingkan diri sendiri, yang berselindung atas nama membela bangsa, tidak akan mendapat tempat sekiranya rakyat menolaknya.

Dan pada ketika orang bukan Islam sudah boleh menolak amalan batil yang ditegah Islam, umat Islam masih hanyut dan masih tertipu dengan pemimpin yang hanya memakai nama Islam.

Sementara Allah swt masih mengurniakan kita nyawa, dan demi masa depan anak-anak kita, marilah kita membuat perubahan, bersama-samalah kita jadi umat Islam yang lebih bertanggungjawab.

(Malaysia di tempat 56, Denmark, N.Zealand dan S’pura di tangga terbaik, rujuk link berikut:)
http://procentus.wordpress.com/2011/02/10/the-2010-world-corruption-index-by-country/

Friday, June 10, 2011

MINUMAN AJAIB ABC – ‘APPLE, BEETROOT, CARROT’


Formula minuman ajaib ini telah lama diedarkan. Namun seorang selebriti Cina bergelar Mr Seto ingin menarik perhatian umum akan keberkesanan ramuan ini.

Beliau dilaporkan mengidap penyakit kanser paru-paru, dan di atas nasihat pakar herba terkemuka Cina beliau bersungguh-sungguh mengamalkan minum minuman ajaib ini untuk selama tiga bulan. Alhamdulillah, beiau pulih dari penyakitnya itu.

Ramuan ini dilaporkan menghalang pembiakan sel-sel buruk di dalam badan dan jika kerap diamalkan akan mengelakkan penumbuhan sel-sel yang tidak diingini.

Untuk membuatnya, anda hanya perlukan sekurang-kurangnya sebiji epal, ubi bit dan wortel (ya, Apple, Beetroot, dan Carrot).

Basuh dan bersihkan buah-buahan ini, potong dan masukkan ke dalam mesin pemerah jus. Jika ingin menambah rasa, anda boleh perah sedikit limau atau lemon ke dalam jus tersebut.

Beberapa artikel telah ditulis mengenai kelebihan minuman ajaib ini, diantaranya sila rujuk blog berikut:

http://lachicaorganica.wordpress.com/2011/03/01/miracle-drink-carrot-beetroot-and-apple/

Bagi memastikan keberkesanannya anda dinasihatkan meminumnya di waktu pagi semasa perut masih lagi kosong, dan mengambil sarapan satu jam setelah meminumnya. Amalkan 2 minuman setiap hari, minuman kedua harus diambil sebelah petang iaitu sebelum pukul 5.00.

Kalau anda ingin menguruskan badan dengan cara yang ‘murah’ anda juga harus mencuba minuman ajaib ini. Ia minuman yang ‘mengenyangkan’.

Cubalah, berkongsilah dengan semua ahli keluarga, dan jika terus diamalkan lihatlah keberkesanannya kepada diri anda.

Dalam video berikut wanita ini menambah ramuan tersebut dengan sedikit halia, tontonilah:


http://www.youtube.com/watch?v=nGV9J_S_ryY

Monday, June 6, 2011

2.5 JUTA PENGUNDI HANTU


Institut Perhubungan Kaum Afrika Selatan baru-baru ini membuat pendedahan yang agak mengejutkan ; seramai 2,5 juta ‘pengundi hantu’ tersenarai di dalam daftar pengundi Negara Zimbabwe.

Jumlah sebanyak itu sudah tentu memadai untuk mempengaruhi keputusan pilihanraya yang dijangka diadakan tahun ini atau tahun depan.

Seorang penganalisa untuk Institut tersebut, Richard Johnson mendapati daftar tersebut mengandungi seramai 41,000 nama pengundi hantu berumur lebih dari 100 tahun, empat kali lebih ramai dari jumlah di United Kingdom yang mempunyai jumlah penduduk yang lebih besar, dan jangka hayat yang lebih panjang.

Menurut beliau purata jangka hayat rakyat Zimbabwe ialah 49 tahun, dan beliau juga mendapati dari jumlah 41,000 ini, 16,800 pengundi mempunyai tarikh lahir yang sama iatu 1hb Januari 1901.

Presiden Robert Mugabe mahu pilihanraya diadakan tahun ini manakala Perdana Menterinya Morgan Tsvangirai merasakan ia patut diadakan pada tahun depan selepas perlembagaan baru diluluskan. Ini bagi memastikan pilihanraya dijalankan dengan bebas dan adil.

Mereka berdua adalah musuh lama dalam politik Zimbabwe, berkongsi kuasa ekoran dari pilihanraya tahun 2008 yang dicemari dengan ‘keganasan’ terhadap penyokong Morgan Tsvangirai.

Kini dengan jangkaan pilihanraya raya akan diadakan pada bila-bila masa, ketegangan sudah mula memuncak di kalangan penyokong kedua-dua pihak.

“Berdasarkan pengalaman lalu, pengundi hantu akan keluar awal untuk mengundi dan ini akan terus berlaku di pilihanraya Zimbabwe”, kata Richard Johnson.

(Sumber: BBC News)

Sunday, June 5, 2011

BOB LOKMAN – ILTIZAM DAN WAJAH BARU


Sejak menyertai PAS bulan Februari lalu saya mula ikuti perkembangan Bob Lokman melalui media elektronik sedapat mungkin.

Peminat seni tanahair pasti mengenali Bob sebagai seorang pelakon dan penulis lirik yang terkenal. Ya, Bob inilah yang menulis lirik lagu terkenal Isabela yang dinyanyikan oleh Ami Search.

Bob ini jugalah selain berlakon, melawak dan di antara juri Raja Lawak yang diminati peminat tidak kira umur, melalui siaran popular di Astro.

Pada awal tahun ini beliau tidak lagi menjadi juri Raja Lawak dan tidak ramai mengetahui akan sebabnya. Kehilangan Bob di kaca tv mula dirasai dan ‘gimik’ Bob Lokman tak dapat diganti.

2011 memperlihatkan Bob Lokman dengan tekad dan wajah baru. Dia mula bergiat secara aktif dengan jemaah Pas dan mula diundang untuk berucap di dalam majlis-majlis Pas. Mengambil bahagian dalam program politik bukanlah satu yang baru baginya, malah dari pengakuannya sendiri, sebelum ini dia kerap mengisi program-program anjuran UMNO.

Sebagai orang baru dalam Pas beliau tidak menduga akan dipanggil berucap di dalam Muktamar Pas tahun ini.

Disebalik wajah seorang pelakon, pelawak dengan pelbagai gimik yang melucukan, tersembunyi wajah seorang bapa yang begitu serius mengambil berat perihal anaknya.

Apabila ditanya apa yang mendorong beliau menyertai Pas, beliau lantas menjawab … “anak-anaknya bermasalah dengan sistem kehidupan”. Beliau ingin mendidik anak-anaknya ke jalan Islam tetapi anaknya ada masalah dengan sistem persekolahan, pergaulan dan masyarakat. Di rumah walaupun anak-anak disuruh sembahyang, di luar di sebabkan pergaulan mereka membuat perkara yang lagha.

Beliau merasakan manusia sudah lupa akan Allah, selalu membangga diri menyebabkan mereka merasa mereka hebat. Pada waktu muda kita tidak menyedari tetapi apabila kita lihat anak-anak kita tidak menjadikan Allah itu 'nombor satu' ….. sepatutnya taqwa diutamakan….

Kenyataan penuh beliau dirakam di video berikut:
http://www.youtube.com/watch?v=FxRLz--bgsk

Bob Lokman kini menulis dalam blognya sendiri, anda boleh ikuti di link berikut:
http://boblokman.blogspot.com/

Thursday, June 2, 2011

AGEN KANSER DALAM MINUMAN


Pelbagai minuman buah-buahan dan minuman memberi tenaga kini sedang dipantau oleh Kementerian Kesihatan kerana di dapati mengandungi bahan campuran yang tidak dibenarkan.

Baru-baru ini 3 jenama produk keluaran dari Taiwan telah ditarik balik pengedarannya kerana di dapati mengandungi ‘carcinogens’. Bahan kimia yang terkandung di dalamnya lebih digunakan dalam proses pembuatan plastik agar ia menjadi lebih fleksibel.

Dijual dengan kaedah pembotolan yang lebih menarik, dengan rasa yang digemari ramai, tidak ramai yang menyangka minuman buah-buahan ini adalah merbahaya untuk kesihatan.

Ahli-ahli sukan dan olahraga sering dilihat membawa pelbagai jenis minuman bertenaga ini tanpa menyedari bahawa ada di antara produk ini mengandungi bahan yang dikenalpasti sebagai agen kanser.

Produk miniman yang dilarang:


Jika kita masih menyimpan produk-produk ini, pastikan kita tidak lagi meminumnya.

Sumber: thestar.com.my

Wednesday, June 1, 2011

RAGUT – JANGAN LEKA DALAM KENDERAAN


Ketika ekonomi membangun kita dihadapkan dengan beberapa masalah diantaranya kekurangan tenaga pekerja mahir. Kita tiada pilihan, terpaksa mengambil pekerja asing untuk mengatasi masalah ini.

Pada waktu yang sama ramai majikan tempatan mengambil kesempatan; mereka mengambil pekerja secara sah dan tidak sah.

Bagi pekerja yang tidak mempunyai dokumen sah, mereka sering menjadi mangsa penipuan majikan. Gaji tidak dibayar, dan jika dibayar memakan masa yang begitu lama menyebabkan pekerja tersebut tinggal lebih lama dengan cara yang tidak sah.

Manakala apabila ekonomi meleset ramai pula yang hilang pekerjaan. Oleh kerana sudah agak lama selesa dengan pendapatan yang dikecapi di sini, tinggal secara haram adalah lebih baik dari pulang ke negara asalnya.

Apabila sudah ketiadaan wang ada yang memilih berbuat jahat. Mencuri, merompak, meragut sering berlaku apabila pekerjaan sukar diperolehi. Dan yang berbuat jahat ini bukan sahaja orang luar, yang menganggur dan menagih juga perlu diawasi.

Dalam kes ragut mereka sudah lebih berani berbuat dengan apa cara sekali pun asalkan dapat melarikan diri. Berhati-hatilah apabila memandu, berhati-hati semasa berada di dalam kereta, dan jangan tinggalkan barang berharga tatkala meninggalkan kenderaan anda.

Lihatlah video berikut, perhatikan penunggang motosikal:



http://www.youtube.com/watch?v=8mbLLHxr0ng

Pos Popular Minggu ini