Pages

Showing posts with label MASYARAKAT. Show all posts
Showing posts with label MASYARAKAT. Show all posts

Friday, July 22, 2011

PAKAIAN BERHAWA DINGIN


Cuaca panas dan kekurangan tenaga elektrik tidak menghalang pekerja Jepun meneruskan kerja harian seperti biasa.

Gempa bumi yang melanda Jepun bulan Mac lalu menyebabkan kekurangan tenaga elektrik dan memaksa rakyat negara itu bekerja dalam suasana yang tidak selesa.

Untuk mengatasi masalah kepanasan ini sebuah syarikat di Jepun, Kuchofuku Co Ltd telah membuat sejenis pakaian ‘berhawa dingin’ yang disertai kipas di pakaian tersebut.

Syarikat ini menerima permintaan yang begitu tinggi sehingga tidak dapat memenuhi kehendak pelanggan dalam masa yang terdekat.


Gambar di atas, Hiroshi Ichigaya (L) presiden Kuchofuku Co Ltd mempamirkan jaket yang mengandungi kipas. (Gambar oleh: Yoshikazu Tsuno, Getty Image)




Dua kipas kecil yang tersemat di jaket di atas boleh dikawal, ia membawa masuk angin ke dalam pakaian dengan kelajuan yang boleh diubah-ubah. Menggunakan bateri kecil, ia boleh digunakan berterusan selama 11 jam dan bateri tersebut boleh dicaj semula.
Pengguna jaket yang memakainya sama ada di dalam atau di luar bangunan mendapati udara dingin yang dikipas masuk berupaya mengeringkan peluh di badan. Angin dalam pakaian akan keluar melalui kolar dan lengan baju.

Harga sepasang jaket dijual dengan harga 140 dollar, lebih kurang RM 450.
Sumber: Discovery News

Thursday, July 7, 2011

PRESIDEN DISERANG DI KHALAYAK RAMAI


Presiden Perancis Nicolas Sarkozy diserang dan hampir ditarik jatuh sewaktu berjalan-jalan di khalayak ramai minggu lalu.

Kejadian berlaku ketika beliau sedang bersalam mesra dengan orang ramai, tiba-tiba ada tangan yang menyentap tarik baju presiden Sarkozy.

Lelaki tersebut yang dikenali sebagai Hermann Fuster, 32 tahun pekerja sebuah panggung di Agen dari daerah Lot-et-Garonne menarik kuat baju presiden kearah orang ramai yang beratur di belakang pagar keselamatan.

Beliau hampir jatuh tetapi sebagai seorang yang rajin berlari dan berbasikal, beliau dapat melawan tarikan itu dan mengelak dari tersungkur.





Pegawai keselamatan tangkas menyerbu kearah penyerang, dan Hermann ditangkap untuk siasatan selanjutnya.

Mengikut undang-undang jika didapati bersalah, Hermann boleh dikenakan denda 40,000 pound iaitu bersamaan RM200,000+, tetapi pihak kerajaan membuat keputusan tidak perlu mendakwa beliau.






Sumber : http://english.cntv.cn/20110701/106068.shtml

Tuesday, July 5, 2011

BELALANG GORENG


Ikan dan belalang adalah dua jenis binatang yang tidak perlu disembelih untuk dimakan. Namun masyarakat kita agak asing dengan hidangan belalang. Mungkin belum ada resipi yang menarik untuk memancing selera masyarakat tempatan.

Kalau kita ke Thailand, Vietnam atau Kemboja, belalang goreng ada dijual di tepi-tepi jalan, jika kita pandai mencarinya.

Di benua Afrika terutama di Uganda, belalang sudah menjadi hidangan kegemaran ramai. Ia boleh digoreng begitu sahaja, atau lebih enak lagi digoreng dengan bawang dan lada.



Penangkap belalang meraih pendapatan yang agak lumaian pada setiap musim, iaitu apabila rumput lebat menghijau di musim hujan.

Dengan menggunakan tong besar, zing alumunium dan cahaya lampu, binatang ini mudah ditangkap pada waktu malam. Belalang-belalang akan terbang menuju kearah lampu, melanggar zing-zing yang didirikan dan terus bergolek masuk kedalam tong yang disediakan.

Di dalam negara yang menghadapi masalah kekurangan bekalan letrik, Uganda kini menghadapi cabaran menangani kecurian tenaga letrik. Penangkap belalang menarik wayar-wayar letrik secara haram untuk memasang lampu mengakibatkan gangguan bekalan letrik setiap minggu. Namun oleh kerana sedapnya rasa belalang ini, gangguan ini sudah dianggap lumrah.

Bagi penangkap atau penjual belalang perniagaan ini agak lumayan, dan di dalam sebuah Negara yang kekurangan bekalan makanan berprotin, pihak berkuasa memejamkan sebelah mata kerana belalang kini menjana ekonomi rakyat tempatan.

Sumber:
http://news.bbc.co.uk/2/hi/africa/1033947.stm
http://edition.cnn.com/2011/WORLD/africa/07/05/uganda.grasshopper/index.html?hpt=hp_c2

Sunday, June 26, 2011

ADA YANG TAK BERUBAH


Hari ini berlangsung Marathon Kuala Lumpur, pelumba dari dalam dan luar Negara mengejar ke garisan penamat bertempat di Dataran Merdeka.

Kami ke Kuala Lumpur pagi ini bukan untuk ambil bahagian atau melihat marathon tetapi untuk menuju ke Wisma Yakin membuat baju Raya. Kenapa buat awal sangat, puasa pun belum lagi. Jangan tunggu nak puasa kerana tukang jahit sudah menerima banyak tempahan dan garisan penamat untuk tempahan dah tak lama lagi. Takut nanti ada yang siap lepas raya pulak.

Seperti biasa apabila ke KL tempat yang mudah meletak kenderaan ialah di kawasan berdepan dengan balai Polis Dang Wangi. Hari ini banyak pula jalan di KL yang tutup, mujurlah ada polis yang baik hati membenarkan kami masuk ke kawasan ini. Mungkin ada yang merasa sedikit jauh nak berjalan ke Wisma Yakin dari situ, tapi bagi yang jarang-jarang ke KL mengeluarkan sedikit peluh di pagi Ahad bukanlah satu masalah.

Setelah turun kenderaan kami berjalan menuju Kompleks Campbell dan mengambil lorong belakang Jalan Tunku Abdul Rahman menghala ke Masjid India. Lorong ini laluan kebiasaan kami kerana ia tidak sesak seperti jalan utama. Tetapi di bulan puasa dan bila ada pasar malam, lorong ini sesak dengan ribuan pengunjung.

Tidak seperti Ahad-ahad lain yang pernah kami kunjungi, hari ini lorong di atas agak lengang. Amat ketara ialah sampah-sampah yang terbiar di tepi jalan dari pagi hingga ke tengah hari. Tidak kelihatan seorang petugas pun yang menyapu sampah sepanjang kami berada di kawasan tersebut.

Di beberapa sudut jalan memang ada tong-tong sampah yang tergantung di tiang, tapi sampah masih tetap di atas jalan. Tong-tong tersebut masih berbadan tegap, tetapi tidak ada serinya lagi kerana ruang mangkuk tempat membuang puntong rokok sudah lopong ternganga.

Dengan sampah di sepanjang jalan, tong-tong-tong sampah tidak terjaga, lantai jalan bagaikan berlumut, lorong belakang jalan Tunku Abdul Rahman ini sudah tidak ada serinya lagi. Di lorong yang sama ini juga terdapat beberapa hotel yang dihuni pelancong dari dalam dan luar negara.

Pada ketika kita hebat membuat promosi pelancongan, apakah gambaran sebenarnya yang hendak kita tawarkan kepada pelancong-pelancong yang mengunjungi kawasan ini. Sekadar untuk membeli-belah?

Kami sempat mengunjungi sebuah gedung borong terkemuka tanahair yang mempunyai rangkaian di seluruh negara. Ia terletak tak jauh dari Wisma Yakin. Kelihatan juga pelancong asing memasuki gedung ini. Oleh kerana gedung ini agak terkemuka dan milik orang Islam pulak tu, kami pun rasa selesa hendak menggunakan tandas awamnya.

Hebatnya gedung 3 tingkat ini, tandas awamnya hanya satu terletak di aras bawah. Menaiki sedikit tangga, pengunjung berbaris di depan pintu tandas. Bukan satu, ada dua tandas di dalamnya. Satu dengan pintu yang tidak boleh ditutup dan satu lagi dengan pengepam yang tidak berfungsi. Oleh kerana hajat dah terlalu kuat, terpaksa jugalah terus ke dalam.

Wajah Kuala Lumpur sudah banyak berubah, kedai-kedai dan hotel-hotel lama sudah banyak diubahsuai, yang tak berubah ialah rakyat Malaysia; dalam hal kebersihan macam tu lagi.

Friday, June 24, 2011

CIKGU GILA-GILA, BUKAN GILA


Gila-gila bukan bererti gila. Cara Cikgu Shida membuat ‘miming’ ala tersendiri dalam youtube bukan kerja orang gila. Perlakuan gila-gilanya itu yang menghidupkan seni ‘miming’ ditonton lebih sejuta pengunjung pasti belum ada yang jadi gila.

Cikgu Shida sudah jadi artis popular di youtube. Lagu ‘Kalau Berpacaran’ nyayian Suhaimi Mior Hassan dan Ana Raffali dimuat-turun ke youtube bulan Oktober 2010 dan sehingga Jun 2011 ditontoni lebih 300 ribu pelayar internet. Manakala Cikgu Shida juga memuat-turun lagu yang sama sebulan kemudian, kini sudah ditontoni hampir 1.5juta pengunjung.

Cara kreatif Cikgu Shida diikuti ramai peminat, dan tidak kurang juga ada yang mencemuh kerana menganggap caranya keterlaluan. Dan ada yang mempersoalkan kewibawaan beliau sebagai seorang guru.

Cikgu Shida jangan khuatir. Masyarakat Melayu memang susah nak berubah. Kalau mereka tonton drama tv atau melihat lakonan yang kurang sopan, mereka terima itu sebagai satu lakonan sahaja. Tetapi apabila Cikgu melakonkan dengan cara yang ‘tergila-gila’ mereka pula menganggap cikgu tidak sopan.

Membuat sesuatu kelainan bererti cikgu telah memecah tradisi dari terus menjadi Pak Turut atau Pak Sanggup. Ramai Cikgu yang tidak pandai ambil hati anak murid dan ramai juga cikgu-cikgu yang lebih komited mengajar tuisyen di rumah dari mengajar dalam kelas sekolah.

Ramai orang Melayu lebih suka mengkritik, tetapi tidak suka dikritik, suka mengata pasal orang lain tapi tahu pula marah apabila dirinya dikata orang.

Oleh itu Cikgu Shida jangan khuatir, perbaikilah prestasi cikgu mencari pelbagai jalan bagaimana hendak memajukan anak bangsa. Cikgu perlu pandai memenangi hati anak-anak murid, dan cara Cikgu Shida adalah cara yang disenangi oleh mereka.

Kalau membuat kerja gila pasti orang akan kata kita gila. Apabila membuat cara gila-gila, apakah boleh dipanggil gila?

Sila tontoni Cikgu Shida:
http://www.youtube.com/watch?v=eOswFlzxIes

Wednesday, June 1, 2011

RAGUT – JANGAN LEKA DALAM KENDERAAN


Ketika ekonomi membangun kita dihadapkan dengan beberapa masalah diantaranya kekurangan tenaga pekerja mahir. Kita tiada pilihan, terpaksa mengambil pekerja asing untuk mengatasi masalah ini.

Pada waktu yang sama ramai majikan tempatan mengambil kesempatan; mereka mengambil pekerja secara sah dan tidak sah.

Bagi pekerja yang tidak mempunyai dokumen sah, mereka sering menjadi mangsa penipuan majikan. Gaji tidak dibayar, dan jika dibayar memakan masa yang begitu lama menyebabkan pekerja tersebut tinggal lebih lama dengan cara yang tidak sah.

Manakala apabila ekonomi meleset ramai pula yang hilang pekerjaan. Oleh kerana sudah agak lama selesa dengan pendapatan yang dikecapi di sini, tinggal secara haram adalah lebih baik dari pulang ke negara asalnya.

Apabila sudah ketiadaan wang ada yang memilih berbuat jahat. Mencuri, merompak, meragut sering berlaku apabila pekerjaan sukar diperolehi. Dan yang berbuat jahat ini bukan sahaja orang luar, yang menganggur dan menagih juga perlu diawasi.

Dalam kes ragut mereka sudah lebih berani berbuat dengan apa cara sekali pun asalkan dapat melarikan diri. Berhati-hatilah apabila memandu, berhati-hati semasa berada di dalam kereta, dan jangan tinggalkan barang berharga tatkala meninggalkan kenderaan anda.

Lihatlah video berikut, perhatikan penunggang motosikal:



http://www.youtube.com/watch?v=8mbLLHxr0ng

Tuesday, May 24, 2011

KANAK-KANAK 6 TAHUN – HIDUP BERSEORANGAN


Menjadi yatim piatu pada umur yang masih kecil, ibu bapanya meninggal dunia akibat penyakit AIDS. Ah Long yang baru berumur 6 tahun juga disahkan membawa kuman HIV.

Dia kini tinggal berseorangan, membasuh, memasak, belajar dan menternak ayam bersendirian.

Hanya neneknya yang berumur 84 tahun yang kerap datang ke rumahnya memasakkan makanan untuknya.

Dia tinggal di rumah peninggalan ibu-bapanya di sebuah kampung di kaki Gunung Malu, Liuzhou di Provinsi Guangxi, China.

Berdekatan rumah ini neneknya menanamkan sayur-sayuran untuknya.

Ah Long tidak tahu tentang AIDS. Yang nyata kawan-kawanya tidak mahu mendekatinya lagi, doktor tidak mahu merawat lukanya, dan satu-satunya keluarga yang ada ialah neneknya, yang juga tidak berani tinggal serumah dengannya.

Turut menyedihkan ialah Ah Long tidak dibenarkan hadir di sekolah yang berdekatan dengan kampungnya.

Satu-satunya kawan yang mendampingi Ah Long ialah seekor anjing yang bernama Lao Hei.


Bukan sahaja pihak sekolah yang meminggirnya, Jabatan kebajikan masyarakat juga tidak dapat menjaga Ah Long akibat komplikasi yang disebabkan penyakit AIDS itu.

Beliau hanya diberikan 70 yuan (RM33) sebulan sebagai elaun sara hidup dari biro kerajaan, yang sudah tentu tidak mencukupi untuk menyara hidup Ah Long.

Setelah mendapat liputan meluas dari akhbar-akhbar Negara China, ada warga prihatin yang menyuarakan hasrat untuk memelihara Ah Long, tetapi masih belum menjadi kenyataan.

(Berita dan gambar di atas dipetik dari ‘dailychilli.com’)

Monday, May 23, 2011

KANAK-KANAK GENIUS - AHLI BEDAH BERUMUR 7 TAHUN


Lahir pada 23 April 1993, menurut ibunya Akrit Jaswal sudah mula bertutur pada umur 10 bulan dan membaca buku Shakespeare pada umur 5 tahun.

Pada usia yang kecil lagi beliau meminati sains dan anatomi sehinggakan doktor di daerahnya membenarkan Akrit memerhatikan pembedahan yang dibuat dihospital pada usia beliau baru 6 tahun.

Beliau dilaporkan mempunyai IQ pada kiraan 146 dan dianggap yang paling tinggi dalam golongan umurnya di seluruh India. Beliau mendapat gelaran sebagai ‘genius perubatan’ dalam masyarakatnya.

Kepintaran beliau tersebar luas, dan pada umur 7 tahun beliau diberitakan menjalankan satu pembedahan ke atas jari seorang kanak-kanak perempuan berumur 8 tahun.

Bapa kanak-kanak perempuan itu seorang gembala dan tidak mampu membayar kos pembedahan di hospital. Dengan bantuan Akrit jari yang yang melekat simpul akibat kejadian kebakaran dibedah dengan jayanya.

Pada usia 12 tahun beliau mendapat tajaan mengikuti ijazah sains di Kolej Chandigarh, pelajar termuda di Universiti India.

Walaupun kini terkenal beliau tidak gugup berhadapan dengan para menteri dan wartawan media. Apabila bertemu orang awam berlainan pula keadaannya. Mereka yang datang menemuinya seolah-olah datang mengadap seorang doktor atau tabib. Pelbagai masalah penyakit dan perubatan dihadapkan kepadanya untuk penyelesaian. Dia dianggap bagaikan ‘guru’ dan dalam masyarakat India setiap pemaslahan tidak lari dari dimensi kerohanian.

Beliau begitu fokus untuk menceburi bidang perubatan dan benar-benar mempercayai satu hari kelak akan menemui ubat untuk menyembuh penyakit kanser.

(Anda boleh rujuk link berikut) :
http://www.mymultiplesclerosis.co.uk/misc/akritjaswal.html

Friday, May 20, 2011

HARI KIAMAT 21MEI 2011


Seorang ‘evangelis’ California Harold Camping, 89 tahun meramalkan Nabi Isa akan turun ke dunia pada 21hb Mei 2011, dan membawa naik pengikutnya ke syurga pada hari ini.

Menurut beliau kandungan bible menyatakan satu gempa bumi besar akan berlaku pada hari ini menandakan bermulanya hari kiamat, dan mereka yang tidak mempercayai ajaran ini akan semua terkorban selewat-lewatnya 21 Oktober tahun ini.

Beliau pernah membuat ramalan yang sama pada tahun 1994, namun menurut pengikut beliau itu adalah ramalan permulaan sahaja.

Dari kajian beliau bible menyatakan tuhan merancang untuk menyelamatkan sekitar 200 juta manusia, seperti yang disebut dalam rangkaian websitenya, Family Radio Worldwide.

Walaupun menerima kritikan dari penganut-penganut kristian lain, beliau begitu yakin bahawa ‘hari penghisaban’ telah tiba.

Pada hari Sabtu ini beliau dan isterinya akan duduk disisi tv dan radio untuk mula mengikuti perkembangan seluruh dunia.

Kempen beliau ini telah mendapat liputan yang luas sehinggakan ada satu kaum di Vietnam yang bersempadan dengan Laos membuat persiapan menantikan tarikh 21hb Mei ini.

Sementara itu kumpulan ateis Amerika membuat persiapan untuk membuat ‘parti’ untuk meraikan ketidakpercayaan mereka terhadap ramalan ini.

Kumpulan ateis adalah kumpulan yang tidak mempercayai kewujudan tuhan dan akan ‘berpesta’ sebagai reaksi balas terhadap ramalan tersebut.

Berita ini disedut dari link berikut:
http://www.bbc.co.uk/news/world-us-canada-13468131

Wednesday, May 18, 2011

WANITA PERTAMA MEMANDU DI SAUDI


Najla Hariri dilaporkan sebagai wanita pertama kerap memandu secara terbuka di bandaraya Jeddah, Arab Saudi.

Di dalam masyarakat di mana wanita hanya boleh keluar rumah dengan diiringi lelaki, wanita tidak dibenarkan memandu walaupun ada berita yang mengatakan jauh di perkampungan padang pasir sudah ada wanita yang berani berbuat demikian.

Beliau mempunyai lessen memandu yang diperolehinya dari negara Mesir dan Lebanon, dan lessen memandu antarabangsa dari Eropah yang digunanya semasa tinggal di luar Negara.

Perubahan yang sedang berlaku di negara-negara Arab mendorong beliau berbuat demikian. Minggu lalu beliau memberanikan diri memandu keretanya sendiri di bandaraya Jeddah dan tahu beliau boleh ditahan polis kerana memandu.

Ibu kepada lima orang anak ini mendapat sokongan dari suami serta galakan dari anak-anak perempuannya serta kawan-kawan anaknya.

Protes jalanan yang hebat berlaku di negara-negara jiran telah meransang wanita Saudi untuk sama-sama menuntut perubahan. Melalui facebook mereka berpakat serta menggalakkan wanita keluar beramai-ramai memandu kereta pada 17hb. Jun ini.

Mereka juga menuntut agar wanita dibenarkan mengundi di Majlis Perbandaran serta dibenarkan menandatangani surat perjanjian.

Aalia, seorang pelajar Universiti berumur 19 tahun giat mengatur beberapa program melalui internet, katanya “ kami menumpukan kepada penyebaran maklumat agar kaum wanita memahami hak-hak mereka”

(Dipetik dari berita berikut:) :-
http://www.bbc.co.uk/news/world-middle-east-13431562

Thursday, April 28, 2011

LENA SEMASA KHUTBAH


Khutbah Jumaat baru-baru ini membawa tajuk kelahiran anak di luar nikah dan kes buang bayi dari kalangan orang Melayu. Jumlah puluhan ribu kelahiran yang dikhabarkan khatib sudah tentu memeranjatkan ramai para jemaah, dan mungkin juga ramai yang sudah mengetahuinya.

Gejala sosial di kalangan remaja, pergaulan bebas tanpa kawalan dikenalpasti sebagai punca meningkatnya kes-kes kelahiran dan pembuangan bayi.

Mesej khatib jelas difahami bagi yang mendengarnya, yang terlena dan khayal dapat juga mesej tersebut walaupun samar-samar seakan memahaminya.

Tujuan khatib tidak lain ialah untuk menyedarkan umat Islam supaya kembali ke jalan Islam. Dan pastinya juga khatib sudah tahu, sebahagian besar kumpulan sasar yang patut mendengar mesej itu tidak ada di kalangan jemaah pada hari tersebut. Yang lebih ramai ialah mereka yang tidak sangat boleh di panggil remaja lagi.

Walaupun begitu mesej khatib amat relevan. Semua yang hadir di masjid hari itu mempunyai peranan dalam masyarakat untuk sama-sama mengatasi dan membenteras masalah sosial ini.

Khatib menegaskan supaya masalah seks bebas ini perlu segera di atasi. Bagi para jemaah yang bukan sangat boleh dipanggil remaja tadi, mesej tersebut adalah jelas dan mudah difahami… Jumaat berlalu.

Tidak lama kemudian, video seks pemimpin Melayu menjadi tajuk utama dalam setiap media. Mesejnya; jangan biar pemimpin yang tak ‘bermaruah’ terus menjadi pemimpin. Yang menyebarkannya; individu-individu yang tak boleh di gelar remaja lagi.

Kalau video seks menjadi salah satu tajuk utama pelbagai media, apakah berita ini terselindung dari remaja-remaja yang perilakunya sudah jauh tersasar dari kehendak Islam? Apakah para remaja tidak akan terfikir bahawa seks bebas mungkin ‘perkara biasa’ di kalangan sesetengah remaja tua?

Mungkin selepas ini video seks perlu dijadikan tajuk khutbah. Inilah agaknya yang disebut politik itu kotor. Yang mengotorkanya adalah mereka yang mungkin tak boleh dipanggil remaja lagi, yang hadir di masjid, celik lena sewaktu khatib berkhutbah.

Kalaulah hendak diharapkan mereka untuk membantu mengatasi masalah sosial yang dihadapi remaja, semua yang terlibat dalam penayangan video ini sama-sama perlu dibantu.

Video sudah luas diedarkan. Nasi sudah menjadi bubur…..dan tak boleh lagi nak ikut pepatah lama kerana yang ini ….. dimakan mati anak. diluah pun mati anak.

Pos Popular Minggu ini