Pages

Tuesday, May 24, 2011

SINGA + HARIMAU = SINIMAU


Kita biasa dengar haiwan yang dipanggil selembu, iaitu kacukan antara seladang dan lembu. Tetapi pernahkah kita melihat haiwan kacukan antara Singa dan Harimau?

Penyatuan di antara singa jantan dan harimau betina lazimnya berlaku di kebun binatang (zoo) iaitu apabila mereka dibiarkan bebas bersama. Hasil kacukan ini dipanggil ‘ligers’ iaitu kata-kata ciptaan antara ‘lion’ dan ‘tiger’.

Baru-baru ini empat ekor ‘ligers’ lahir di Xixiakao Wildlife Zoo, China tetapi hanya dua ekor yang masih hidup.

Selepas beberapa hari menyusukan anaknya, sang harimau meninggalkan tanggungjawabnya, dan tugas untuk menyusukan anak-anak ‘ligers’ yang masih hidup ini diambil alih oleh seekor anjing. Anjing tersebut secara kebetulan baru melahirkan anak-anaknya sendiri.



Pada awalnya memang ada sedikit masalah penyesuaian, tetapi anak-anak ligers ini kemudiannya serasi juga dengan ibu angkatnya.

Singa dan harimau walaupun dari spesies berlainan, mereka didapati berupaya membiak bersama.

(Berita dan gambar dipetik dari BBC News)

KANAK-KANAK 6 TAHUN – HIDUP BERSEORANGAN


Menjadi yatim piatu pada umur yang masih kecil, ibu bapanya meninggal dunia akibat penyakit AIDS. Ah Long yang baru berumur 6 tahun juga disahkan membawa kuman HIV.

Dia kini tinggal berseorangan, membasuh, memasak, belajar dan menternak ayam bersendirian.

Hanya neneknya yang berumur 84 tahun yang kerap datang ke rumahnya memasakkan makanan untuknya.

Dia tinggal di rumah peninggalan ibu-bapanya di sebuah kampung di kaki Gunung Malu, Liuzhou di Provinsi Guangxi, China.

Berdekatan rumah ini neneknya menanamkan sayur-sayuran untuknya.

Ah Long tidak tahu tentang AIDS. Yang nyata kawan-kawanya tidak mahu mendekatinya lagi, doktor tidak mahu merawat lukanya, dan satu-satunya keluarga yang ada ialah neneknya, yang juga tidak berani tinggal serumah dengannya.

Turut menyedihkan ialah Ah Long tidak dibenarkan hadir di sekolah yang berdekatan dengan kampungnya.

Satu-satunya kawan yang mendampingi Ah Long ialah seekor anjing yang bernama Lao Hei.


Bukan sahaja pihak sekolah yang meminggirnya, Jabatan kebajikan masyarakat juga tidak dapat menjaga Ah Long akibat komplikasi yang disebabkan penyakit AIDS itu.

Beliau hanya diberikan 70 yuan (RM33) sebulan sebagai elaun sara hidup dari biro kerajaan, yang sudah tentu tidak mencukupi untuk menyara hidup Ah Long.

Setelah mendapat liputan meluas dari akhbar-akhbar Negara China, ada warga prihatin yang menyuarakan hasrat untuk memelihara Ah Long, tetapi masih belum menjadi kenyataan.

(Berita dan gambar di atas dipetik dari ‘dailychilli.com’)

Monday, May 23, 2011

KANAK-KANAK GENIUS - AHLI BEDAH BERUMUR 7 TAHUN


Lahir pada 23 April 1993, menurut ibunya Akrit Jaswal sudah mula bertutur pada umur 10 bulan dan membaca buku Shakespeare pada umur 5 tahun.

Pada usia yang kecil lagi beliau meminati sains dan anatomi sehinggakan doktor di daerahnya membenarkan Akrit memerhatikan pembedahan yang dibuat dihospital pada usia beliau baru 6 tahun.

Beliau dilaporkan mempunyai IQ pada kiraan 146 dan dianggap yang paling tinggi dalam golongan umurnya di seluruh India. Beliau mendapat gelaran sebagai ‘genius perubatan’ dalam masyarakatnya.

Kepintaran beliau tersebar luas, dan pada umur 7 tahun beliau diberitakan menjalankan satu pembedahan ke atas jari seorang kanak-kanak perempuan berumur 8 tahun.

Bapa kanak-kanak perempuan itu seorang gembala dan tidak mampu membayar kos pembedahan di hospital. Dengan bantuan Akrit jari yang yang melekat simpul akibat kejadian kebakaran dibedah dengan jayanya.

Pada usia 12 tahun beliau mendapat tajaan mengikuti ijazah sains di Kolej Chandigarh, pelajar termuda di Universiti India.

Walaupun kini terkenal beliau tidak gugup berhadapan dengan para menteri dan wartawan media. Apabila bertemu orang awam berlainan pula keadaannya. Mereka yang datang menemuinya seolah-olah datang mengadap seorang doktor atau tabib. Pelbagai masalah penyakit dan perubatan dihadapkan kepadanya untuk penyelesaian. Dia dianggap bagaikan ‘guru’ dan dalam masyarakat India setiap pemaslahan tidak lari dari dimensi kerohanian.

Beliau begitu fokus untuk menceburi bidang perubatan dan benar-benar mempercayai satu hari kelak akan menemui ubat untuk menyembuh penyakit kanser.

(Anda boleh rujuk link berikut) :
http://www.mymultiplesclerosis.co.uk/misc/akritjaswal.html

Friday, May 20, 2011

HARI KIAMAT 21MEI 2011


Seorang ‘evangelis’ California Harold Camping, 89 tahun meramalkan Nabi Isa akan turun ke dunia pada 21hb Mei 2011, dan membawa naik pengikutnya ke syurga pada hari ini.

Menurut beliau kandungan bible menyatakan satu gempa bumi besar akan berlaku pada hari ini menandakan bermulanya hari kiamat, dan mereka yang tidak mempercayai ajaran ini akan semua terkorban selewat-lewatnya 21 Oktober tahun ini.

Beliau pernah membuat ramalan yang sama pada tahun 1994, namun menurut pengikut beliau itu adalah ramalan permulaan sahaja.

Dari kajian beliau bible menyatakan tuhan merancang untuk menyelamatkan sekitar 200 juta manusia, seperti yang disebut dalam rangkaian websitenya, Family Radio Worldwide.

Walaupun menerima kritikan dari penganut-penganut kristian lain, beliau begitu yakin bahawa ‘hari penghisaban’ telah tiba.

Pada hari Sabtu ini beliau dan isterinya akan duduk disisi tv dan radio untuk mula mengikuti perkembangan seluruh dunia.

Kempen beliau ini telah mendapat liputan yang luas sehinggakan ada satu kaum di Vietnam yang bersempadan dengan Laos membuat persiapan menantikan tarikh 21hb Mei ini.

Sementara itu kumpulan ateis Amerika membuat persiapan untuk membuat ‘parti’ untuk meraikan ketidakpercayaan mereka terhadap ramalan ini.

Kumpulan ateis adalah kumpulan yang tidak mempercayai kewujudan tuhan dan akan ‘berpesta’ sebagai reaksi balas terhadap ramalan tersebut.

Berita ini disedut dari link berikut:
http://www.bbc.co.uk/news/world-us-canada-13468131

Wednesday, May 18, 2011

WANITA PERTAMA MEMANDU DI SAUDI


Najla Hariri dilaporkan sebagai wanita pertama kerap memandu secara terbuka di bandaraya Jeddah, Arab Saudi.

Di dalam masyarakat di mana wanita hanya boleh keluar rumah dengan diiringi lelaki, wanita tidak dibenarkan memandu walaupun ada berita yang mengatakan jauh di perkampungan padang pasir sudah ada wanita yang berani berbuat demikian.

Beliau mempunyai lessen memandu yang diperolehinya dari negara Mesir dan Lebanon, dan lessen memandu antarabangsa dari Eropah yang digunanya semasa tinggal di luar Negara.

Perubahan yang sedang berlaku di negara-negara Arab mendorong beliau berbuat demikian. Minggu lalu beliau memberanikan diri memandu keretanya sendiri di bandaraya Jeddah dan tahu beliau boleh ditahan polis kerana memandu.

Ibu kepada lima orang anak ini mendapat sokongan dari suami serta galakan dari anak-anak perempuannya serta kawan-kawan anaknya.

Protes jalanan yang hebat berlaku di negara-negara jiran telah meransang wanita Saudi untuk sama-sama menuntut perubahan. Melalui facebook mereka berpakat serta menggalakkan wanita keluar beramai-ramai memandu kereta pada 17hb. Jun ini.

Mereka juga menuntut agar wanita dibenarkan mengundi di Majlis Perbandaran serta dibenarkan menandatangani surat perjanjian.

Aalia, seorang pelajar Universiti berumur 19 tahun giat mengatur beberapa program melalui internet, katanya “ kami menumpukan kepada penyebaran maklumat agar kaum wanita memahami hak-hak mereka”

(Dipetik dari berita berikut:) :-
http://www.bbc.co.uk/news/world-middle-east-13431562

Monday, May 16, 2011

GEMUK? MAKAN BAWANG MERAH, TEH HIJAU, DAUN ZAITUN


Kajian seorang profesor biomedik mendapati bawang merah, teh hijau dan ekstrak daun zaitun boleh mengatasi masalah kegemukan dan lain-lain penyakit seperti sakit jantung dan kencing manis.

Prof Lindsay Brown dari Universiti Queensland Selatan telah membuat ujian keatas binatang (tikus) dengan memberI pelbagai jenis makanan yang mengandungi banyak lemak dan gula.

Beliau mendapati tikus-tikus yang diberi makan bawang merah, teh hijau, ekstrak daun zaitun (dan beberapa makanan lain dalam ujian) telah mengurangkan ‘sel-sel penggemukan’.

Hati dan jantung binatang-binatang ini juga di dapati berfungsi dengan lebih baik.

Bawang merah dan ekstrak daun zaitun mengandungi ‘flavonoid’ yang dipanggil ‘rutin’ yang juga boleh didapati dari buah epel dan teh. Bahan-bahan ini dikesan mengatasi perubahan yang boleh berlaku akibat meengambil makanan yang tinggi dengan lemak dan gula.

Kajian ini telah diwartakan dalam ‘Journal of Nutrition & the Current Pharmaceutical Biotechnology’, atau boleh ikuti berita berikut:

http://timesofindia.indiatimes.com/life-style/health-fitness/diet/Onions-green-tea-olive-leaf-tackle-obesity/articleshow/8363138.cms

Thursday, May 12, 2011

DAGING LEMBU TIRUAN


Berhati-hati melancung ke negara China. Bulan lalu pihak penguatkuasa China menjumpai sejenis aditif ekstrek daging yang kini dijual berleluasa di negara itu.

Pada mulanya aditif ini hanya digunakan untuk membuat ‘serunding’ daging, tetapi kini ia digunakan untuk ‘mengubah’ daging babi dan daging ayam menjadi daging lembu.

Proses mengubah membuat daging lembu tiruan ini hanya mengambil masa 90 minit sahaja. Cara membuatnya adalah seperti berikut:


1. Menggunakan ekstrek daging ini kepada daging babi


2. Menambah agen glazur ini untuk menghilangkan rasa daging babi, bungkusan kecil ini boleh digunakan untuk 50kg daging babi


3. Mengasinkan 2 bahan di atas kepada daging babi di dalam bekas seperti ini

Memandangkan produk-produk dari luar agak mudah dibawa masuk ke negara ini, berhati-hatilah apabila anda membeli daging.

(Anda boleh rujuk link berikut: )
http://www.chinasmack.com/2011/pictures/beef-extract-additive-used-to-change-pork-into-beef.html

Wednesday, May 11, 2011

SAKIT JANTUNG – CPR DIRI SENDIRI


Oleh kerana serangan sakit jantung boleh berlaku di mana-mana dan acap kali berlaku bila kita berseorangan, degupan yang tidak menentu disertai dengan rasa hendak pingsan, jika tidak segera bertindak, kita hanya tinggal kira-kira 10 saat sebelum hilang kesedaran.

Apabila bersendirian – apa yang patut kita lakukan?

Jangan gementar, segera BATUK berulang-berulang dan sekuat-kuat yang mungkin.

Tarik nafas sedalam mungkin dan ulangi batuk seperti tadi. Batuk anda mestilah dirasai sampai ke dalam dada yang boleh membuatkan rasa hendak keluar kahak.

Menarik nafas dan mengulangi batuk harus diselangi setiap 2 saat dibuat secara berterusan sehingga anda perolehi bantuan, atau degupan jantung sudah mula menjadi normal.

Ikhtiar menarik nafas membantu menambahkan oksigen, manakala batuk tadi ‘memerah’ jantung dan membantu perjalanan darah semula. ‘Tekanan’ melalui batuk dan pernafasan tadi dapat memulihkan degupan jantung menjadi lebih selesa sementara menanti rawatan doktor.

Sebarkan kepada semua yang kita kasihi, tetapi jangan lupa, dengan cara hidup kita hari ini serangan jantung tidak hanya kepada orang dewasa sahaja, orang muda juga tidak terkecuali.

Untuk rujukan lanjut, sila lawati link berikut:
http://mtherald.com/how-to-mitigate-and-survive-a-heart-attack/

Saturday, May 7, 2011

TERKENA AIR PANAS / API


Sedang aku merebus jagung di dalam periuk aku mencucuk jagung itu dengan garpu untuk melihat samada ia sudah sedia untuk dihidangkan. Garpu tergelincir dan tangan ku terus termasuk ke dalam air panas.

Rakan ku yang berada di rumah terus mengejar ke dapur apabila mendengar aku menjerit kesakitan. Menyedari apa yang berlaku beliau terus bertanya samaada aku ada menyimpan sebarang tepung.

Aku mengambil tepung gandum dalam bungkusan plastik, diambilnya dari tanganku dan terus menyuruh aku menyeluk tangan ku ke dalam tepung tersebut. Diarahnya aku supaya jangan mengeluarkan tanganku selama 10 minit.

Rakan ku yang berasal dari Vietnam lantas menceritakan satu kejadian di negaranya, bagaimana mereka memadamkan api ke atas seorang yang pakaian ditubuhnya sedang dijilat api. Mereka menyimbah sebanyak tepung yang mungkin, untuk memadamkan api ditubuh mangsa. Bukan sahaja api yang dapat dipadamkan, kulit mangsa juga dilaporkan tidak melecur.

Setelah 10 minit aku mengeluarkan tangan ku dari bungkusan tepung. Tangan ku tidak lagi merasa sakit dan tiada langsung kesan merah kepanasan yang ku rasai tadi. Mulai hari itu setiap kali aku terkena ‘benda’ panas aku terus menyalutnya dengan tepung, Alhamdulillah mujarab.

Kini aku sentiasa menyimpan sebungkus tepung di dalam peti sejuk. Tepung dari peti sejuk lebih cepat beri ‘keselesaan’ untuk tujuan ini. Dan aku juga diberitahu, tidak perlu menjirus air di anggota terlibat, terus sahaja selukkan ke dalam tepung.

Semoga dapat dimanfaatkan.

(Dari perkongsian sahabatku, Tok Papa), atau, sila rujuk link berikut:

http://www.tipking.co.uk/burnt_skin.shtml

Friday, May 6, 2011

AL-QAEDA SAHKAN KEMATIAN OSAMA


Rakyat Pakistan berkumpul selepas Jumaat membantah pembunuhan Osama Bin Laden dan pencerobohan tentera Amerika ke atas negara mereka.

Mereka juga mengecam kerajaan Pakistan kerana membenarkan kemasukan komando Amerika, walau bagaimana pun pihak pemerintah menafikan sebarang pengetahuan mengenai rancangan tersebut.

Lebih kurang seribu orang berkumpul di Bandar Abbottabad di Bandar Osama di bunuh, manakala jumlah yang kecil dilaporkan di Rawalpindi.

Hari ini BBC juga memetik laporan internet forum ‘Jihadist’ lidah rasmi kumpulan tersebut mengesahkan kematian Osama Bin Laden di tangan tentera Amerika.

Berita ini dipetik dari laporan berikut:

http://www.bbc.co.uk/news/world-south-asia-13313201

GAM DAGING - AWAS


Kita sering mendengar makanan kegemaran ramai nasi beriani gam, tapi tidak pernah pula kita mendengar Gam Daging.

TV Australia telah mendedahkan bagaimana sejenis gam digunakan oleh pembekal-pembekal daging untuk menjual cebisan daging atau daging kecil yang kemudiannya dilekatkan menggunakan gam tersebut.

Gam ini tidak diluluskan penggunaannya di sesetengah Negara tetapi di Australia belum ada undang-undang yang menegahnya.

Pembekal yang menggunakan gam tersebut membungkus daging-daging kedalam plastik dan apabila dijual di pasaran daging tersebut kelihatan seperti seketul daging besar biasa.

Untuk maklumat lanjut sila layari link berikut:

http://au.todaytonight.yahoo.com/article/8989315/consumer/meat-glue

Wednesday, May 4, 2011

DEMAM DENGGI – MINUM JUS BUAH KIWI


Sepasang suami isteri yang dimasukkan ke hospital baru-baru ini kerana dijangkiti demam denggi ingin berkongsi pengalaman mereka setelah pulih dari penyakit tersebut.

Suami mendapat demam panas yang tinggi, menggigil, loya, ruam dan merasa sakit seluruh badan sementara isteri pula selain demam dan sakit seluruh badan sentiasa muntah, dan ruam yang agak lebih teruk lagi.

Kiraan platlet suami turun ke 18 dan terpaksa membuat pemindahan darah manakala isteri berada dalam keadaan lebih baik dan tidak perlu berbuat demikian.

Melalui nasihat sahabat andai mereka memakan sup ketam, dan juga minuman kesihatan yang baik untuk pesakit denggi, tetapi tidak berkesan kepada mereka.

Seorang jururawat telah mencadangkan agar mereka minum jus buah kiwi. Secara kebetulan malam itu hidangan makan disertakan dengan jus dan buah tersebut sekali.

Keesokannya kiraan platlet suami naik hingga 82, manakala kiraan isteri bertambah dari 150 ke 169. Mereka diizinkan pulang tetapi setelah dua hari di rumah isteri mengalami gangguan kesihatan lagi dan pergi semula ke hospital, kiraan platlet turun semula ke 141. Dengan desakan suami agar terus minum jus kiwi, platlet beliau naik ke 300 dua hari kemudian.

Pengalaman ini kemudiannya dikongsikan dengan makcik mereka yang mendapat demam denggi. Ditakdirkan, sehari selepas minum jus tersebut kiraan platlet meningkat dari 76 ke 170.

InsyaAllah, usaha kita ialah mencari ubat, yang menyembuhkan Allah subhanahuwataala jua.

(Dari email CTT: Untuk mengetahui hasiat buah kiwi, sila layari link berikut):

http://health-care.eu/health-benefits-of-raw-kiwi-fruit-juice

Monday, May 2, 2011

OSAMA – 2011 BERAKHIR SATU BURUAN


Kejadian 11 September 2001 yang memusnahkan World Trade Centre New York telah menyebabkan umat Islam jadi cemuhan lantas dituding dengan keganasan. Sebagai kaum minoriti di Negara besar seperti Amerika, Australia dan sesetengah Negara Eropah masyarakat Islam jadi hamunan, imej Islam tercalar.

Untuk menjaga hati pemimpin Negara Islam dan untuk mengatasi pergolakan anti Islam di Negara mereka, pemimpin Barat meneliti semula cemuhan mereka. Mereka tidak lagi menyebut Islam secara umum, keganasan mula diselarikan dengan ‘kumpulan ekstrim Islam’.

Kumpulan Ekstrim Islam dilekatkan dengan label khas yang jelas iaitu ‘pengganas’. Mendahului senarai pengganas ini tidak lain Osama bin Laden. Beliau menjadi buruan utama Amerika dan ‘menghalalkan’ kehadirannya di bumi Afghanistan untuk menjejaki Osama. Kejadian 11 September perlu dibalas.

Setelah hampir sepuluh tahun jadi buruan, Osama Bin Laden akhirnya mati ditembak tentera Amerika di sebuah pekan bernama Abbotabad kira-kira 50 batu dari ibu Negara Pakistan. Rumah yang didiaminya itu hanya beberapa ratus meter dari Akademi Tentera Pakistan. Jenazahnya dikebumikan di lautan agar kuburnya tidak dijadikan makam pujaan.

Kini, semua pejabat kedutaan Amerika diarah berada dalam keadaan berjaga-jaga. Mungkin pengganas atau Al Qaeda bertindak segera. Dari kenyataan rasmi yang dikeluarkan, setakat ini hanya Hamas yang mengiktiraf Osama sebagai wira, manakala ramai rakyat Pakistan tidak mempercayai Osama sudah tiada.

Adakah selepas ini setiap pintu masuk lapangan terbang (terutama di Negara barat) menjadi lebih ‘ketat’ dengan pemeriksaan terhadap umat Islam berbanding sebelum ini?

Atau adakah selepas ini imej umat Islam sudah boleh disamak daripada terus di gelar pengganas.

Sunday, May 1, 2011

BERKONGSI LEBIH BAIK DARI MEMINTA

Seoarang sahabat dari Singapura menghantar email yang bertajuk ‘The Power of Words’. Bersama email tersebut dikembarkannya video youtube dengan tajuk yang dinyatakan.

Kandungannya agak menyentuh hati. Ia sungguh berkesan kerana mesej yang ditulis mengingatkan semua betapa besarnya nikmat yang diberikan oleh Allah subhanahuwataala hanya dengan ‘melihat’.

Di adegan awal video tersebut watak utama hanya mengadu keadaannya dan terus meminta bantuan melalui mesej bertulis. Dengan bantuan seorang hamba Allah yang lain mesej yang sama ditulis semula dengan ayat yang lebih indah.

Keindahan mesej inilah yang menyentuh hati ‘pembaca’, bukan sahaja yang apa dituliskan itu indah, tetapi ia meliputi segala ciptaan Allah swt. Dan keindahan itu terletak dalam ‘hati’ manusia.

LEBIH SEJUTA KERJA DI LUAR NEGARA


Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita dari Bank Dunia iaitu lebih dari satu juta rakyat Malaysia bekerja di luar Negara. Sejumlah besar iaitu kira-kira 54% kini berada di Singapura.

Pada ketika Negara memerlukan lebih tenaga pekerja mahir, berkelulusan dan ‘berbakat’ untuk menjana ekonomi negara, kita menghadapi suasana apa yang dipanggil ‘brain drain’.

Mungkin di antara faktor utama mereka bekerja di luar Negara ialah pendapatan yang lebih tinggi, peluang pembangunan kerjaya yang lebih baik, atau ada faktor yang lebih berat seperti tidak tahan diskriminasi (seperti diskriminasi kaum) jika bekerja di negara sendiri.

Kilanan atau ‘grievance’ pekerja jika tidak diambil berat oleh majikan sering menjadi penyebab utama pemberhentian pekerjaan atau mencari kerja lain.

Kita kerap mendengar keluhan para pekerja yang menuntut agar dibayar gaji yang lebih baik/tinggi. Dalam usaha majikan berlumba-lumba untuk ‘membesarkan’ keuntungan adakah kebajikan pekerja diambiberat?

Kebajikan pekerja meliputi semua aspek, dari jumlah gaji yang mereka terima untuk menyara keluarga, masa berkualiti yang diperuntukkan bersama keluarga hinggalah program pembangunan dan polisi perkhidmatan yang boleh meransang para pekerja.

Perkara ini jika tidak dibendung akan menjadi masalah yang berat dalam usaha untuk membangunkan Negara. Kita tidak sama dengan Indonesia atau Phillipine yang punyai ramai penduduk. Yang sama ialah setiap manusia punyai ‘keperluan’. Adakah ‘keperluan’ ini mencukupi atau dipenuhi?

Pos Popular Minggu ini