Pages

Saturday, April 30, 2011

KOMPAUN KHINZIR DALAM PERUBATAN


Makanan yang halal adalah untuk santapan rohani dan jasmani. Pada haiwan yang disembelih, dagingnya adalah untuk jasmani, halalnya itu adalah untuk rohani.

Sehingga hari ini umat Islam lebih terdedah kepada penghalalan atau pengharaman bahan-bahan yang tekandung dalam persiapan pemakanan tetapi sedikit sangat yang didedahkan berkaitan bahan-bahan yang terkandung dalam persiapan ubat-ubatan.

Umat Islam lebih arif dengan gelatin dan alkohol, yang sering dikaitkan dalam pembuatan bahan makanan, termasuk pembuatan kapsul yang digunakan secara luas dalam ubat-ubatan atau makanan kesihatan.

Melalui satu kajian rapi, umat Islam buat kali pertamanya boleh membuat semakan bahan-bahan atau kompaun halal atau haram yang digunakan dalam sektor perubatan. Phytorex Press dalam volume pertamanya menyenaraikan ubat-ubatan yang dibuat dari bahan yang dipanggil ‘porcine’, iaitu bahan yang dihasilkan dari khinzir. Walau bagaimana pun buku tersebut juga menyatakan juga sumber alternatif bagaimana bahan tersebut boleh dikeluarkan.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk ‘link’ berikut:

http://www.thehalalindex.com/ atau http://www.halaljournal.com/

Thursday, April 28, 2011

LENA SEMASA KHUTBAH


Khutbah Jumaat baru-baru ini membawa tajuk kelahiran anak di luar nikah dan kes buang bayi dari kalangan orang Melayu. Jumlah puluhan ribu kelahiran yang dikhabarkan khatib sudah tentu memeranjatkan ramai para jemaah, dan mungkin juga ramai yang sudah mengetahuinya.

Gejala sosial di kalangan remaja, pergaulan bebas tanpa kawalan dikenalpasti sebagai punca meningkatnya kes-kes kelahiran dan pembuangan bayi.

Mesej khatib jelas difahami bagi yang mendengarnya, yang terlena dan khayal dapat juga mesej tersebut walaupun samar-samar seakan memahaminya.

Tujuan khatib tidak lain ialah untuk menyedarkan umat Islam supaya kembali ke jalan Islam. Dan pastinya juga khatib sudah tahu, sebahagian besar kumpulan sasar yang patut mendengar mesej itu tidak ada di kalangan jemaah pada hari tersebut. Yang lebih ramai ialah mereka yang tidak sangat boleh di panggil remaja lagi.

Walaupun begitu mesej khatib amat relevan. Semua yang hadir di masjid hari itu mempunyai peranan dalam masyarakat untuk sama-sama mengatasi dan membenteras masalah sosial ini.

Khatib menegaskan supaya masalah seks bebas ini perlu segera di atasi. Bagi para jemaah yang bukan sangat boleh dipanggil remaja tadi, mesej tersebut adalah jelas dan mudah difahami… Jumaat berlalu.

Tidak lama kemudian, video seks pemimpin Melayu menjadi tajuk utama dalam setiap media. Mesejnya; jangan biar pemimpin yang tak ‘bermaruah’ terus menjadi pemimpin. Yang menyebarkannya; individu-individu yang tak boleh di gelar remaja lagi.

Kalau video seks menjadi salah satu tajuk utama pelbagai media, apakah berita ini terselindung dari remaja-remaja yang perilakunya sudah jauh tersasar dari kehendak Islam? Apakah para remaja tidak akan terfikir bahawa seks bebas mungkin ‘perkara biasa’ di kalangan sesetengah remaja tua?

Mungkin selepas ini video seks perlu dijadikan tajuk khutbah. Inilah agaknya yang disebut politik itu kotor. Yang mengotorkanya adalah mereka yang mungkin tak boleh dipanggil remaja lagi, yang hadir di masjid, celik lena sewaktu khatib berkhutbah.

Kalaulah hendak diharapkan mereka untuk membantu mengatasi masalah sosial yang dihadapi remaja, semua yang terlibat dalam penayangan video ini sama-sama perlu dibantu.

Video sudah luas diedarkan. Nasi sudah menjadi bubur…..dan tak boleh lagi nak ikut pepatah lama kerana yang ini ….. dimakan mati anak. diluah pun mati anak.

Tuesday, April 26, 2011

POCO-POCO


Duduk bersama rakan-rakan di Restoran Lim Abdullah Chinese Muslim food memberi gambaran keyakinan bahawa makanan Cina yang disediakan ini pastinya halal. Malam ini kami meraikan persaraan seorang sahabat dan sempena bermula era baru kerjayanya sebagai seorang perunding.

Genap enam mangkuk shark fins soup dihidangkan rakan ku Mokhtar mengangkat tangan diikuti yang lain membaca doa.

Selesai berdoa masing-masing menitikkan kicap vinegar ke dalam sup masing-masing untuk menambahkan rasa.

Tiba-tiba Mokhtar yang baru pulang mengerjakan Umrah 2 hari lalu dalam nada perlahan berkata … masa kita di sekolah dulu, aku tak ingat ada membaca doa sebelum makan ni.

Halim: Masuk kampus baru aku perasan budak-budak ABIM atau budak-budak usrah yang mula baca doa ni.

Najib: Kalau yang janggut panjang tu budak tabligh, kalau janggut macam Anwar Ibrahim budak ABIM.

Kalau tak ada janggut? Aku bertanya. Tu budak-budak ragbi, jawab Najib.

Memang sah Setan budak-budak ragbi, kata Mokhtar. Dia dan aku sama-sama main ragbi dari bangku sekolah lagi.

Salleh: Bukan ke baca doa ni dia orang ikut cara kristian. Bila dah banyak tengok TV cerita orang putih, dia orang berdoa sebelum makan, kadang-kadang melutut di tepi katil sebelum tidur dan berdoa.

Masing-masing diam, ada yang merenung ke arah Salleh, dan ada yang terus menghabiskan saki-baki sup dalam mangkuk.

Fuad: Macam poco-poco ikut kristian ke?

Perbualan tergendala kerana siakap tiga rasa, kerapu sweet and sour, udang goring tepung dan pelbagai lagi dihidangkan serentak. Meja besar yang biasa memuatkan sepuluh orang penuh diisi hidangan di atas kaca putar.

Sambil mengambil lauk Fuad menyambung: Kalau kita buat apa yang nabi buat, itu ikut sunnah namanya, tapi kalau nabi tak buat kita pandai-pandai buat, itu bid’ah namanya.

Salleh: Aku makan dengan sudu-garpu ni bid’ah ke tidak? Aku pakai kereta, tak naik unta, tak pakai jubah, boleh dikata bid’ah? Kalau nabi ajar kita berdoa, doa makan tadi nabi ikut kristian ke?

Soalan bertambah hangat, hal-hal bid’ah dan ibadat. Mokhtar yang memulakan tajuk doa tadi meredakan suasana lalu berkata: kesedaran Islam dah jauh berbeza dari zaman kita sekolah dulu. Kau orang ingat berapa orang budak Melayu yang pakai tudung dulu. Kita kat form six ada berapa orang yang pakai. Tapi anak kita, masuk form 1 aje, kita dah suruh pakai.

Nun kristian pun pakai tudung, Salleh mencelah.

Fatwa terhadap poco-poco menjadi perbualan hangat. Masing-masing memberI pandangan tentangnya kerana majlis perkahwinan Melayu kini kerap berakhir dengan tarian ini.

Di akhir jamuan, yang menjadi tanda-tanya, apa perlu pihak mufti mengaitkannya dengan kristian.

Monday, April 25, 2011

PERPECAHAN MELAYU


Kali terakhir aku bertemu dengan rakanku ini iaitu hampir 4 bulan yang lalu, dia begitu ghairah memperkatakan tentang perpecahan Melayu. Dalam pertemuan kali ini keghairahan itu semakin memuncak dan diselubungi perasaan marah kerana katanya orang Cina dah naik tocang (gara-gara kemenangan DAP di PRN Sarawak).

Kemarahan dan kebencian lebih ditujukan kepada Anwar Ibrahim kerana ‘gila kuasa’ dan PAS yang memutarbelitkan Islam. Yang kuat jadi sasaran ialah peribadi Anwar, dibakarnya bagaikan dipanah petir.

Rakanku ini tahu aku tak berminat berpolitik. Bila aku membuka mulut dan tiba-tiba bertanya samaada hatinya tenang bila mendirikan solat, lantas aku dilabelnya orang PAS.

Aku sekadar ingin berkongsi pengalaman dengannya. Aku memberitahu betapa susahnya aku mendidik hati ini untuk kyusyuk bila berhadapan dengan Allah swt. Aku cuba membersihkan hati dari sifat-sifat tercela, dan hilangkan rasa kebencian dan kemarahan (kecuali kemungkaran). Solatku masih berserabut, kataku kepadanya.

Dalam diam rakanku merenung jauh. Setelah lama berdiam dia mengalih pandangan kepadaku dan bertanya … jadi kau tak kisah apa nak jadi dengan orang Melayu?

Bukan begitu, jawapan ku. Aku lihat kebelakangan ini pemimpin Melayu hanyut dalam dunia kebendaan. Yang diberikan kuasa menyalahgunakan kedudukannya. Mereka merasakan kuasa dan kedudukan bagaikan hak mereka. Mereka lupa hak Allah subhanahuwataala. Kalau pemimpin-pemimpin ini terus berada di tempatnya, kita turut bersubahat dengannya.

Aku rasa ini bukan soal Melayu berpecah. Ini soal HATI yang 'pecah'(rosak/kotor). Orang Melayu jika hatinya disinari cahaya Allah subhanahuwataala, mereka tidak akan berlaku curang terhadap sesiapa. Bangsa lain pun ada hati juga. Oleh kerana hati ini sudah bergelumang dengan segala sifat-sifat yang tak baik, bangsa lain melihat melayu, Islam semua tak baik.

Kalau hati ini boleh dibawa ke jalanNya, bukankah itu yang dituntut?

Pos Popular Minggu ini