
Hari ini berlangsung Marathon Kuala Lumpur, pelumba dari dalam dan luar Negara mengejar ke garisan penamat bertempat di Dataran Merdeka.
Kami ke Kuala Lumpur pagi ini bukan untuk ambil bahagian atau melihat marathon tetapi untuk menuju ke Wisma Yakin membuat baju Raya. Kenapa buat awal sangat, puasa pun belum lagi. Jangan tunggu nak puasa kerana tukang jahit sudah menerima banyak tempahan dan garisan penamat untuk tempahan dah tak lama lagi. Takut nanti ada yang siap lepas raya pulak.
Seperti biasa apabila ke KL tempat yang mudah meletak kenderaan ialah di kawasan berdepan dengan balai Polis Dang Wangi. Hari ini banyak pula jalan di KL yang tutup, mujurlah ada polis yang baik hati membenarkan kami masuk ke kawasan ini. Mungkin ada yang merasa sedikit jauh nak berjalan ke Wisma Yakin dari situ, tapi bagi yang jarang-jarang ke KL mengeluarkan sedikit peluh di pagi Ahad bukanlah satu masalah.
Setelah turun kenderaan kami berjalan menuju Kompleks Campbell dan mengambil lorong belakang Jalan Tunku Abdul Rahman menghala ke Masjid India. Lorong ini laluan kebiasaan kami kerana ia tidak sesak seperti jalan utama. Tetapi di bulan puasa dan bila ada pasar malam, lorong ini sesak dengan ribuan pengunjung.

Tidak seperti Ahad-ahad lain yang pernah kami kunjungi, hari ini lorong di atas agak lengang. Amat ketara ialah sampah-sampah yang terbiar di tepi jalan dari pagi hingga ke tengah hari. Tidak kelihatan seorang petugas pun yang menyapu sampah sepanjang kami berada di kawasan tersebut.
Di beberapa sudut jalan memang ada tong-tong sampah yang tergantung di tiang, tapi sampah masih tetap di atas jalan. Tong-tong tersebut masih berbadan tegap, tetapi tidak ada serinya lagi kerana ruang mangkuk tempat membuang puntong rokok sudah lopong ternganga.
Dengan sampah di sepanjang jalan, tong-tong-tong sampah tidak terjaga, lantai jalan bagaikan berlumut, lorong belakang jalan Tunku Abdul Rahman ini sudah tidak ada serinya lagi. Di lorong yang sama ini juga terdapat beberapa hotel yang dihuni pelancong dari dalam dan luar negara.
Pada ketika kita hebat membuat promosi pelancongan, apakah gambaran sebenarnya yang hendak kita tawarkan kepada pelancong-pelancong yang mengunjungi kawasan ini. Sekadar untuk membeli-belah?
Kami sempat mengunjungi sebuah gedung borong terkemuka tanahair yang mempunyai rangkaian di seluruh negara. Ia terletak tak jauh dari Wisma Yakin. Kelihatan juga pelancong asing memasuki gedung ini. Oleh kerana gedung ini agak terkemuka dan milik orang Islam pulak tu, kami pun rasa selesa hendak menggunakan tandas awamnya.
Hebatnya gedung 3 tingkat ini, tandas awamnya hanya satu terletak di aras bawah. Menaiki sedikit tangga, pengunjung berbaris di depan pintu tandas. Bukan satu, ada dua tandas di dalamnya. Satu dengan pintu yang tidak boleh ditutup dan satu lagi dengan pengepam yang tidak berfungsi. Oleh kerana hajat dah terlalu kuat, terpaksa jugalah terus ke dalam.
Wajah Kuala Lumpur sudah banyak berubah, kedai-kedai dan hotel-hotel lama sudah banyak diubahsuai, yang tak berubah ialah rakyat Malaysia; dalam hal kebersihan macam tu lagi.