Pages

Saturday, August 6, 2011

MAKHLUK GHAIB


Seorang sahabat mengirim email berikut untuk dikongsikan di bulan Ramadhan ini. Tulisan tersebut menyentuh perbezaan istilah antara iblis, syaitan, jin dan bunian. Dikongsikan di sini untuk menfaat ramai.

----------------------------------------------------------

Persoalan mengenai perkara-perkara ghaib seperti jin dan bunian merupakan
salah satu perkara yang dikategorikan sebagai perbincangan keagamaan di
kaca mata masyarakat kita. Saban hari kita kerap dipaparkan dengan
tajuk-tajuk rencana di majalah-majalah berkenaan persoalan yang bersekitar
dengan tajuk ini. Kisah anak manusia yang berbapakan orang bunian, kisah
mereka yang sesat di dalam hutan dan berjumpa dengan perkampungan bunian,
kisah mereka yang dirasuk syaitan, dan kisah mereka yang bersahabat dengan
jin. Bagaimana pandangan Al-Quran dan Sunnah berkenaan hal-hal ini?

Oleh itu, penulis ingin mengambil kesempatan ini untuk cuba meleraikan
untaian benang perihal-perihal ini, agar dapat kita ketahui betapa lemahnya
tipu daya syaitan itu, namun bagaimana ramai di antara kita yang tertipu
dengan mereka.


1) IBLIS/LUCIFER


Siapakah Iblis, dan apakah itu syaitan? Adakah jin dan syaitan itu jenis
makhluk yang berbeza? Benarkah Iblis itu suatu ketika dahulu adalah dari
kalangan malaikat?


Hakikatnya, perkataan syaitan itu sendiri bermaksud 'yang ingkar', maka
dinamakan syaitan kerana Iblis ingkar kepada Allah agar sujud kepada Adam.
Di dalam Al-Quran, jelas Allah S.W.T ada berfirman "Kami berfirman kepada
para malaikat 'sujudlah kamu kepada Adam', maka mereka semua bersujud,
melainkan Iblis, DAN ADALAH IBLIS ITU DARI KALANGAN JIN" -Surah Al-Kahfi
ayat 50. Dengan wujudnya dalil ini maka tidak lagi perlu kita persoalkan
lagi adakah Iblis itu dari kalangan malaikat atau pun jin kerana telah jelas
disebutkan bahawa Iblis adalah Jin.


Oleh itu, dari manakah asal kata-kata bahawa Iblis itu pada asalnya adalah
seorang malaikat? Terdapat dua sumber berbeza daripada pendapat ini:


i) Tafsiran "maka mereka semua sujud, melainkan Iblis". Maka ada yang
mengambil pengertian ayat ini bahawa Iblis itu dari kalangan malaikat. Ini
adalah tafsiran yang tidak menyeluruh dan dibuat tanpa penelitian, kerana
ayat 50 dari surah Al-Kahfi di atas telah menyebut dengan jelas tentang
perihal ini.


ii) Riwayat Israiliyyat, iaitu riwayat dan pandangan dari ahli kitab,
samada dari Yahudi atau Kristian. Orang-orang Kristian meyakini bahawa
Iblis itu adalah dari kalangan malaikat yang dibuang Allah S.W.T dari
syurga. Maka riwayat ini telah memberikan kesan kepada sebahagian umat
Islam.


2) SYAITAN


Seperti yang penulis nyatakan tadi, perkataan syaitan itu sendiri bermaksud
'yang ingkar', maka dinamakan syaitan bagi mereka yang ingkar kepada Allah,
samada dari kalangan manusia ataupun jin.


Firman Allah S.W.T : "Dan begitulah kami telah jadikan bagi setiap nabi itu
musuh (iaitu) syaitan-syaitan DARI KALANGAN MANUSIA DAN JIN, mereka
memberikan ilham kepada satu sama lain" - Surah Al-An'am, ayat 112.


Maka jelas di sini, jin dan syaitan itu bukanlah makhluk dari jenis yang
lain, bahkan sama. Dan ternyata juga bahawa daripada golongan manusia juga
ada syaitan. Namun, bukan setiap jin itu syaitan, sebagaimana bukan kesemua
manusia adalah syaitan.


Maka syaitan sebagaimana yang difahami msyarakat kita, adalah pada
hakikatnya jin yang bersifat jahat, sebagaimana manusia yang bersifat jahat
juga layak digelar sebagai syaitan.


3) Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia (?)


Ini juga merupakan dakwaan yang tidak berasas dan tidak bersumberkan khabar
dari Rasulullah S.A.W sedangkan Baginda S.A.W adalah manusia yang paling
arif tentang perkara ghaib. Bahkan hadis daripada Baginda S.A.W menunjukkan
hal yang bertentangan dengan apa yang kita fahami. Cuba kita lihatkan
dengan teliti.


Sewaktu Rasulullah SAW menyampaikan surah Ar-Rahman kepada para sahabat,
di mana di dalam surah ini terdapat pengulangan ayat "Maka dengan nikmat
Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?", para sahabat semua terdiam
mendengar bacaan Rasulullah S.A.W. Setelah selesai membacakan surah
tersebut, Rasulullah S.A.W bersabda "Sewaktu aku membacakan surah ini
kepada golongan jin, setiap kali sampai di ayat 'maka dengan nikmat
Tuhan-Mu yang manakah yang kamu dustakan?', para jin akan menjawab "Ya
Allah ya tuhan kami, tiada satupun dari nikmat-Mu, yang kami dustakan, maka
bagi Engkaulah segala pujian". Mengapa kalian semua Cuma berdiam diri? Jin
nampaknya lebih baik daripada kalian"


Tambahan pula, sejahat-jahat manusia di dunia ini adalah Firaun, kerana dia
mengaku bahawa dirinya adalah tuhan, "Maka dia (Firaun) berkata 'Akulah
tuhanmu yang tertinggi, sembahlah aku!". Pernahkah kita mendengar dakwaan
dari mana-mana jin bahawa dirinya adalah tuhan, samada dari riwayat
Al-Quran atau hadis yang sahih...? Sama sekali tidak pernah, oleh itu jauh
sekali jika ingin mendakwa bahawa sebaik-baik jin adalah setaraf dengan
Firaun! Sungguh tidak adil bagi kita untuk menilai jin sedemikian rupa.


Penulis juga ingin kongsikan di sini kata-kata para jin ketika mereka di
Islamkan oleh Rasulullah S.A.W dan kisah ini telah diceritakan oleh
Al-Quran di dalam surah Al-Jin.


"Katakanlah (hai Muhammad): Telah diwahyukan kepadaku bahawasanya
sekumpulan jin telah mendengar (Al-Quran) maka mereka berkata 'sesungguhnya
kami telah mendengar Al-Quran dengan penuh takjub. Dia (Al-Quran) menunjuk
ke arah kebenaran maka kami beriman kepadanya, dan sekali-kali tidak akan
kami berlaku syirik kepada Allah. Dan bahawasa-Nya Maha Suci tuhan kami,
Dia tiada isteri dan tiada pula anak. Dan telah berkata orang-orang yang
bodoh dari kalangan kami kepada Allah perkara-perkara yang melampau. Dan
kami menyangka sebelum ini bahawa manusia dan jin tidak akan berkata bodoh
berkenaan Allah. Dan adalah orang dari kalangan manusia memohon
perlindungan dari kalangan jin, Maka Jin itu cuma menambahkan kesesatannya.
Dan sesungguhnya dari kalangan kami ada yang soleh, dan ada juga yang
selain itu, adalah diantara kami mengikuti jalan yang berbeza. (ertinya ada
yang beriman kepada Allah dan beramal soleh, dan ada yang kufur dan maksiat
kepada Allah, sama seperti manusia)."


Perhatikan bahawa Al-Quran menyaksikan kepada kita hakikat jin yang
sebenarnya, bahawa mereka ada yang soleh, Islam, dan ada juga yang kufur
dan maksiat kepada Allah. Maka jin itu sama sahaja taraf keimanannya dengan
manusia. Perhatikan juga ke manakah arah tuju seseorang itu jika dia
memohon perlindungan kepada jin, iaitu dia cuma menuju arah kesesatan di
dalam syirik kepada Allah. Ini kerana ikrar kita saban hari di dalam surah
Al-Fatihah, "Hanya kepada Engkaulah kami tujukan segala bentuk ibadah kami,
dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan".


Adapun memohon pertolongan dari manusia, maka itu bukanlah termasuk di
dalam syirik. Kata Imam Az-Zahabi, syirik itu cuma terjadi apabila kita
memohon kepada yang ghaib selain dari Allah S.W.T.


4) Bunian.

Terdapat satu kaum pada zaman Rasulullah S.A.W, yang mana mereka merupakan
kaum yang sangat miskin. Suatu hari mereka mengetahui bahawa Rasulullah
S.AW akan datang menziarahi mereka di kampung halaman mereka, sedangkan
mereka tidak mempunyai makanan yang lazat untuk dihidangkan kepada Baginda.
Lalu mereka memutuskan untuk menyembelih kucing, dan mereka berbuat
demikian. Sesampainya Rasulullah S.A.W di kampung tersebut dan dihidangkan
lauk kucing tersebut, Rasulullah S.A.W marah dengan perbuatan mereka,
kerana kucing itu haram di makan, malahan kucing merupakan binatang
kesayangan Nabi S.A.W. Lalu mereka semua berasa malu dengan kesalahan
mereka, dan mereka meminta agar Rasulullah S.A.W berdoa kepada Allah, agar
mereka dan keturunan mereka tidak dapat dilihat oleh manusia lain. Maka
Rasulullah S.A.W mendoakan mereka, lalu kabullah doa Rasulullah. Itulah dia
asal keturunan bunian yang wujud sehingga kini.


Ini merupakan kisah yang masyhur di kalangan masyarakat kita, dan kisah ini
disandarkan kepada Rasulullah, iaitu dianggap sebagai hadis. Cuma sahaja
kisah ini TIDAK PERNAH DIDATANGKAN SEBAGAI HADIS YANG SAHIH, malahan tidak
ada satu pun buku-buku hadis yang mengeluarkan hadis ini dengan sanad
(rangkaian perawi hadis) yang sahih, atau langsung mengemukakan sanadnya.
Oleh kerana itu, kisah ini bukanlah kisah yang sahih dan boleh diambil
kira.


Pada hakikatnya, dua makhluk yang Allah ciptakan di bumi untuk beribadah
kepada Allah cumalah jin dan manusia, dan tiada selain dari itu. Segala
kisah kampung halaman, bau orang memasak di dalam hutan dan sebagainya,
hanyalah tipu helah jin yang jahat bagi menyesatkan manusia, dan
mengelirukan manusia tentang perihal yang tidak mereka ketahui.


Penulis juga ingin menyentuh di sini berkenaan kes-kes bayi yang dilahirkan
tidak berbapa, lalu si ibu mendakwa bahawa anaknya itu merupakan hasil dari
perkongsian hidupnya dengan orang bunian. Bolehkah begitu?


Pertama sekali, kemungkinan terjadinya perkara ini sudahpun diambil kira
oleh seorang ulama' silam yang sangat 'alim dan terkenal, iaitu Imam Malik
ibnu Anas Rahimahullah, guru kepada Imam Syafi'e Rahimahulah. Kata Imam
Malik, andai kata benarlah perkahwinan di antara jin yang ghaib itu dengan
manusia boleh terjadi, maka huru-haralah dunia ini. Lahirkan sahaja anak
zina, dan dakwa sahaja itu anak jin, maka terlepaslah dia dari hukum zina!


Penulis benar-benar berasa kagum dengan kepintaran dan betapa majunya
pemikiran Imam Malik, perkara ini disebutkannya 1200 tahun yang lepas, dan
kini perkara inilah yang sebenarnya sedang terjadi sekarang!
Astagfirullahalazim!


Tambahan pula, di dalam ilmu fiqh undang-undang, terdapat tiga cara
bagaimana boleh jatuhnya pensabitan kesalahan zina, iaitu:-


i)Dari penyaksian empat orang saksi yang adil.
ii)Dari pengakuan si penzina itu sendiri, dan
iii)Dari kelahiran bayi tanpa adanya seorang bapa


Terkilan rasa hati penulis, bagaimana sesetengah pejabat-pejabat agama,
yang terdiri dari kalangan orang-orang yang terpelajar di dalam ilmu
syari'ah, tetapi masih lagi boleh percaya dan melepaskan wanita-wanita yang
melahirkan anak tanpa bapa itu (yang berzina. Bukan yang dirogol)
Subhanallah. Benar sekali kata-kata Imam Malik di atas.


Kedua, percantuman di antara manusia dan jin itu sendiri adalah mustahil,
hatta di kaca mata sains moden. Api sama sekali tidak boleh bergabung
dengan tanah, bahkan api cuma membakar apa-apa yang disentuhnya.


Demikian sahaja yang dapat dikongsi penulis kali ini. Mudah-mudahan ada
yang boleh diambil sebagai faedah dan mendatangkan ilmu yang baru.


Ya Allah...kami berlindung dengan-Mu dari kejahatan syaitan yang direjam,
dan kami berlindung dengan-Mu daripada segala kejahatan makhluk yang telah
Kau ciptakan.


Ya Allah...kurniakanlah umat ini petunjuk ke jalan yang lurus,
perjelaskanlah mereka tentang perkara-perkara ghaib agar mereka jelas
dengan kebesaran-Mu, dan menumpukan perhatian mereka di dalam beribadah
kepada-Mu.


Ya Allah...murnikanlah hati umat Muhammad S.A.W ini dengan kesucian tauhid,
dan hindarkanlah kami dari najis syirik, sesungguhnya kepada Engkaulah kami
tujukan segala ibadah kami.


Amin.
(Dipetik dari email yang diterima pada 6 Ramadhan, semoga mendapat manfaat)

Saturday, July 30, 2011

MENARIKNYA HULA HOOP


Teringat semasa di sekolah rendah dahulu, bersenam dengan hula hoop rotan, kemudian diperkenalkan dengan hula hoop plastik. Yang berbadan kurus senang menggelek, yang berbadan bulat hula hoop jatuh bergolek.

Dengan satu hula hoop pun ramai yang tidak dapat bertahan lama, apa lagi kalau disuruh mencuba lebih dari satu. Sebenarnya ia adalah satu senaman yang sungguh baik untuk merampingkan pinggang dan perut.

Kepada yang ingin tahu, rekod Guiness hula hoop dipegang oleh seorang gadis Cina bernama Jin Linlin yang berupaya memutar sebanyak 105 hula hoop dalam satu masa. Rekod itu dicatatnya pada Oktober tahun 2007.

Baru-baru ini beliau telah membuat satu persembahan di sebuah pusat membeli-belah di Hong Kong dalam satu pertunjukkan yang amat mempesonakan.

Saksikan gambar-gambar berikut:









Sumber: CCTV Cina

Friday, July 29, 2011

UFO SINGGAH NEGARA JIRAN


UFO atau objek terbang yang tak dikenali menggemparkan sebahagian rakyat Indonesia baru-baru ini. Bulatan tanaman yang tidak pernah didengar atau dilihat oleh masyarakat tempatan, tiba-tiba muncul, menguatkan pendapat sesetengah pihak kehadiran makhluk asing ke negara tersebut.

Rekabentuk geometrik bulatan bersilang muncul di tengah sawah padi di daerah Sleman, Jawa Tengah.

Bulatan seperti ini adalah bulatan tanaman pertama muncul di negara tersebut.



Penemuan ini telah menyebabkan sebuah pertubuhan ‘pencari-pencari’ UFO mendapat perhatian masyarakat tempatan. BETA-UFO Indonesia yang ditubuhkan pada 1997 dianggotai oleh individu yang berminat dan meyakini kewujudan makhluk asing dan UFO.

Walaupun pihak berkuasa menafikan kehadiran dan perbuatan makhluk asing, pemburu dan para penyelidik UFO yakin bahawa bulatan tersebut hanya mampu dilakukan oleh makhluk asing.



Mereka merumuskan bahawa adalah mustahil untuk manusia membuat bulatan tersebut hanya dengan menggunakan tali dan kayu, melainkan manusia tersebut membuatnya dengan ‘teknologi tinggi’.

Sila lihat berita selanjutnya, klik :UFO causes stir in Indonesia - China.org.cn

Sumber: CCTV Cina

Wednesday, July 27, 2011

SUPERBUS – 250 KM SEJAM


Jika kereta f1 boleh mencapai kelajuan lebih 300 kilometer sejam (ksj), kini muncul kenderaan terbaru iaitu ‘superbus’ yang boleh memecut pada kelajuan tertinggi 250ksj.

Di litar perlumbaan kereta-kereta f1 mampu mencapai kelajuan tertinggi kerana di atas litar tiada kenderaan lain selain dari kereta-kereta yang berlumba sahaja. Tetapi meletakkan superbus di atas jalan raya untuk memecut kepada kelajuan tersebut, mungkin satu lorong akan dibuat khas untuk superbus sahaja.

Begitu juga dengan ‘super train’. Bergerak di atas landasan keretapi khas, ia mampu mencapai kelajuan lebih dari 500ksj. Dan pada ketika ini negara Cina sedang berusaha keras untuk menghasilkan supertrain yang mampu mencapai kelajuan tertinggi 1000ksj.

Berbalik kepada cerita superbus tadi, kenderaan ini telah dipamirkan di Dubai tahun ini. Ia adalah hasil ciptaan bersama seorang angkasawan dan pakar rekabentuk kereta f1.



Dengan kepanjangan 15 meter dan lebar 2.5 meter, ia mempunyai 8 pintu yang menarik. Ia mampu memuatkan 23 penumpang termasuk seorang pemandu.



Buat permulaan pereka bas tersebut berharap kerajaan UAE akan mencuba bas ini di negara tersebut lanjutan dari ura-ura untuk memendekkan masa perjalanan dari Dubai ke Abu Dhabi, iaitu sejauh 120km. Pada masa ini perjalanan dari Dubai ke Abu Dhabi mengambil masa 90 hingga 120 minit dengan kenderaan biasa; dan adalah di harapkan ia dapat dipendekkan kepada 30 minit dengan menggunakan superbus tersebut.



Untuk melihat gambar-gambar selanjutnya sila klik http://www.funlobby.com/index.php/201107112272/super-bus-for-dubai-10-images.html

Friday, July 22, 2011

LESUNG PIPIT MINGGU INI - LUBANG DI DINDING


Diberitakan di satu pagi seorang lelaki jalan bersiar-siar di perkarangan Hospital mental Permai. Beliau terdengar jeritan seorang pesakit kejap bersuara kuat, kejap bersuara perlahan, dan ada ketika bunyi macam meraung.

Jeritannya begitu jelas kedengaran, beliau berulang-ulang menjeritkan “13 ….. 13 ….. 13 ….. 13”, senyap seketika dijeritnya lagi “13 ….. 13 ….. 13 ….. 13”

Pelik dengan bunyi jeritan sedemikian, lelaki itu mara menuju ke arah bunyi laungan tersebut. Beliau ternampak lubang di dinding bangunan itu lalu mengendap dari lubang tersebut.



Dari lubang itu ia nampak seorang lelaki berjalan ke hulu ke hilir dan dengan mata tertutup terus menjerit “13 ….. 13 ….. 13 ….. 13”. Tiba-tiba pesakit itu berjalan ke satu sudut yang tak dapat dilihat dari intaiannya.

Beliau terus mengintai dari lubang itu, dan dengan tidak disangka-sangka mata beliau dicucuk dengan jari dari lubang tersebut. Merasa kesakitan yang amat sangat beliau berundur dari lubang itu.

Tiba terdengar laungan yang lebih kuat, pesakit itu menjerit “ 14 ….. 14…..14…..14”

PAKAIAN BERHAWA DINGIN


Cuaca panas dan kekurangan tenaga elektrik tidak menghalang pekerja Jepun meneruskan kerja harian seperti biasa.

Gempa bumi yang melanda Jepun bulan Mac lalu menyebabkan kekurangan tenaga elektrik dan memaksa rakyat negara itu bekerja dalam suasana yang tidak selesa.

Untuk mengatasi masalah kepanasan ini sebuah syarikat di Jepun, Kuchofuku Co Ltd telah membuat sejenis pakaian ‘berhawa dingin’ yang disertai kipas di pakaian tersebut.

Syarikat ini menerima permintaan yang begitu tinggi sehingga tidak dapat memenuhi kehendak pelanggan dalam masa yang terdekat.


Gambar di atas, Hiroshi Ichigaya (L) presiden Kuchofuku Co Ltd mempamirkan jaket yang mengandungi kipas. (Gambar oleh: Yoshikazu Tsuno, Getty Image)




Dua kipas kecil yang tersemat di jaket di atas boleh dikawal, ia membawa masuk angin ke dalam pakaian dengan kelajuan yang boleh diubah-ubah. Menggunakan bateri kecil, ia boleh digunakan berterusan selama 11 jam dan bateri tersebut boleh dicaj semula.
Pengguna jaket yang memakainya sama ada di dalam atau di luar bangunan mendapati udara dingin yang dikipas masuk berupaya mengeringkan peluh di badan. Angin dalam pakaian akan keluar melalui kolar dan lengan baju.

Harga sepasang jaket dijual dengan harga 140 dollar, lebih kurang RM 450.
Sumber: Discovery News

Thursday, July 21, 2011

DISELUBUNGI LEBAH


Penternak lebah dari Cina Lu Kongjiang 20 tahun melambai kepada penonton sambil menyambut hinggapan lebah-lebah di tubuhnya. Dalam pertandingan ini Lu bertemu Wang Dalin, juga seorang penternak lebah berumur 42 tahun dari daerah Longhui provinsi Hunan.

Kedua-dua peserta ini hanya memakai seluar pendek, ‘goggle’ dan penyumbat hidung sebagai pelindung. Seekor ratu lebah dalam sangkar kecil digantung pada leher setiap peserta sebagai daya tarik kepada lebah-lebah lain. Dalam beberapa minit sahaja bau ratu lebah ini memikat setiap lebah-lebah yang ada di persekitaran.

Gambar 1 – Lu Kongjiang 20 tahun


Gambar 2 – Wang Dalin 42 tahun

Peserta-peserta ini dikehendaki berdiri di atas alat penimbang supaya berat tambahan dari hinggapan lebah-lebah itu mudah ditentukan.

Di akhir pertandingan Wang Dalin (gambar 2) memenangi pertandingan ini dengan berat lebah sebanyak 26kg, manakala Lu hanya dihinggapi lebah-lebah seberat 22.93kg sahaja.

Berat di atas adalah jauh lebih rendah dari rekod Guiness yang dipegang oleh seorang pelatih binatang dari Amerika iaitu Marc Biancaniello yang memikat lebah ditubuhnya seberat 39.5kg.

Sumber: Discover News

Thursday, July 14, 2011

LESUNG PIPIT MINGGU INI – BUAYA DI KOLAM


Di beritakan ada seorang jutawan yang suka memelihara buaya. Semua buaya-buayanya di ternak di dalam sebuah kolam bersaiz sederhana di perkarangan halaman rumahnya.

Beliau juga mempunyai seorang anak gadis yang masih belum ada pasangan.

Pada satu hari beliau membuat keraian dan menjemput ratusan sahabat-handai dan saudara-mara datang ke rumahnya. Setelah semua jemputan berkumpul, beliau pun membuat pengumuman, iaitu barangsiapa yang berani berenang di dalam kolam yang ada buaya ini dan berjaya naik dengan selamat, akan dihadiahkan wang RM 1 juta atau boleh mengahwini anak gadisnya itu.



Baru sahaja beliau habis membuat pengumuman tiba-tiba terdengar bunyi ledakan air kolam akibat terjunan yang begitu deras. Kelihatan seorang anak muda sedang berenang dengan pantasnya dan para hadirin sekelian memberi tepukan gemuruh. Beliau berjaya berenang ke hujung kolam tanpa sebarang masalah.



Jutawan itu amat kagum dengan anak muda ini, lalu beliau berkata “saya amat berbangga dengan keberanian awak, saya tak sangka ada orang yang berani berenang di dalam kolam ini. Sebagai menunaikan janji saya, apakah pilihan kamu, wang RM 1 juta atau anak saya dijadikan isteri”?.

Sambil menarik nafas panjang dan mengurut-urut dadanya, anak muda itu berkata dengan nada yang agak kuat : ” Dengar sini….saya tak nak wang tuan atau mengahwini anak tuan, saya nak tahu SIAPA yang MENOLAK saya tadi !!!” (sambil menggenggam buku lima nya).

Wednesday, July 13, 2011

HARRY POTTER DENGAN FILEM TERAKHIR


Filem berjodol “Harry Potter and the Deathly Hallows Part 2” merupakan filem Harry Potter terakhir yang dijadualkan moncol di layar perak pada 15hb ini dipanggung UK.

Filem terakhir ini menjanjikan pelbagai adigan penuh aksi sepertimana yang telah mereka lakukan dalam siri-siri sebelum ini. Filem bersiri ini dianggap diantara yang paling berjaya dalam dunia perfileman.

Penerbit filem ini telah membahagikan tujuh siri buku terakhir tulisan J.K.Rowlings kepada dua bahagian.

Filem terakahir ini dihasilkan setelah sepuluh tahun mereka menayangkan siri pertama yang berjodol “Harry Potter and the Sorcerer’s Stone”.



Pelakon muda yang terdiri dari Daniel Radcliffe, Rupert Grint dan Emma Watson merupakan wajah yang paling dikenali, kini terus menjadi pelakon dan jurucakap terkenal.

Sehingga kini filem-filem Harry Porter telah mengaut jualan lebih dari USD 6.4 billion.



Pakar perfileman menjangka filem terakhir yang akan ditayangkan minggu ini dengan tayangan utama di London, pasti akan memecahkan rekod kutipan berbanding sebelum ini.

Sumber: http://english.cntv.cn/program/cultureexpress/20110707/104365.shtml

Monday, July 11, 2011

10 MAKANAN PALING POPULAR DI DUNIA


Menurut kaji selidik sebuah badan amal bernama Oxfam, pasta menduduki tangga teratas sebagai makanan paling popular di dunia.

Sewaktu temuduga orang ramai di sembilan buah negara, pasta disebut sebagai makanan paling digemari kerana harganya yang berpatutan dan mudah dibuat pelbagai jenis masakan.

Sembilan lagi kategori makanan yang menduduki tangga ‘top 10’ ialah daging (lembu, kambing dan khinzir), nasi, pizza, ayam, ikan & makanan laut, sayuran, makanan China, makanan Itali, dan makanan Mexico.

Kaji selidik ini dijalankan pada 6 April lalu selama sebulan. Ia mengenengahkan 600 jenis makanan, menarik minat 16,422 orang di 17 buah negara.

Keputusan kaji selidik menunjukan makanan Asia kini semakin popular di dunia. Makanan Cina adalah makanan kedua popular di Mexico, dan makan Jepun termasuk sebagai ‘top 10’ di lima buah negara termasuk Amerika dan Afrika Selatan.

10 kategori makanan paling popular di dunia adalah seperti berikut:

1. PASTA

2. DAGING

3. NASI

4. PIZZA

5. AYAM

6. IKAN & MAKANAN LAUT

7. SAYUR-SAYURAN

8. MAKANAN CINA

9. MAKANAN ITALI

10. MAKANAN MEXICO


Sumber : CCTV

Sunday, July 10, 2011

LELAKI BOGEL CABAR LEMBU PAMPLONA


Pesta larian lembu jantan yang terkenal dengan nama Pesta San Fermin berlangsung di bandar Pamplona Sepanyol minggu lalu.

Tahun ini menyaksikan gelagat seorang lelaki bogel mengambil bahagian di pesta tersebut, beliau kemudiannya ditahan polis setelah beberapa kali ditanduk seekor lembu muda jantan.


Gambar (di atas), lelaki bogel dilambung oleh seekor lembu muda jantan.
Beliau menyertai ribuan pengunjung yang mencari keseronokan untuk berlari dengan lebu-lembu jantan yang sengaja dilepaskan.


Gambar (di atas). Orang ramai lari bertempiaran tatkala lelaki ini diserang lembu.
Sepuluh orang dilaporkan tercedera tetapi tiada yang serius. Lelaki ini kemudiannya ditahan atas tuduhan menimbulkan ketenteraman awam.


Gambar (di atas), lelaki itu terhumban setelah dilambung oleh lembu tersebut.

Pesta ini diadakan selama lapan hari berakhir Ahad lalu. Penyertaan paling ramai ialah pada hari Ahad dan ia diadakan setiap tahun bermula dari tahun 1849 lagi.

Biasanya pada hari Ahadlah penganjur akan melepaskan lembu laga terbesar dari negara tersebut, lembu yang digelar dengan nama Miuras.

Hospital Navarra melaporkan 10 pelari menerima rawatan kecederaan kecil di tangan dan kepala. 9 dari mereka adalah rakyat Sepanyol berumur antara 19 – 41 tahun yang kini masih lagi dalam perhatian.

Gambar (di atas). Perserta dalam pakaian tradisi berlari dengan lembu-lembu Miara pada Ahad lalu.

Sementara itu lelaki bogel tadi dilaporkan mengalami kecederaan ringan di muka beliau sahaja.
Sumber: CCTV

Friday, July 8, 2011

REKOD BARU ‘FISH-AND-CHIPS’


Sebuah ‘pub’ di Yorkshire, England telah memecahkan Rekod Dunia Guiness dengan membuat fish-and-chips terbesar dan terberat di dunia minggu ini.

Para pengadil yang hadir menyaksikan satu hidangan mega dengan berat 45 kilogram. Mengikut peraturan, persiapan mestilah dibuat dari seekor ikan sahaja.

Berbekalkan seekor ikan halibut segar seberat 18 kilo, tukang masak di Wensley Heifer pub di utara Yorkshire mengambil masa sepanjang tengahari menyiapkan hidangan itu.

Dengan menggunakan 16 liter mentega pada ikan, hidangan ini tidak sempurna tanpa ‘chips’ iaitu kentang goreng. Pada kali ini kentang goreng seberat 27 kilogram telah disediakan.

Rekod lama dipegang oleh sebuah restoran di Amerika Syarikat iaitu restoran Black Rose bertempat di Boston, sejak pada tahun 2004.

Akhirnya rakyat Britain menyambut cabaran ini dan gembira kerana dapat membawa balik gelaran yang pernah dipegangnya dahulu.




Sumber: MAIL online

LESUNG PIPIT MINGGU INI – 4 EKOR CACING


Seorang paderi dalam khutbah hari Ahad di gerejanya memberitahu para jemaah mengenai bahaya meminum arak, menghisap rokok dan memakan cokelat berlebihan.

Untuk membuktikan kepada para jemaah bahaya 3 perkara di atas kepada kesihatan manusia, beliau membuat demonstrasi praktikal untuk disaksikan oleh semua jemaah.

Lalu beliau mengambil 4 buah bekas, dan menunjukkan 4 ekor cacing ditangannya.


Bekas pertama berisi arak, dan dimasukkan ke dalamnya seekor cacing.


Bekas kedua berisi asap rokok, dimasukkan ke dalamnya seekor cacing.


Bekas ketiga berisi ketulan cokelat, lalu dimasukkan ke dalamnya seekor cacing.



Bekas keempat berisi tanah yang bersih, dimasukkan seekor cacing ke dalamnya.


Paderi berkata dia akan tunjukkan pada hadirin apa akan terjadi pada cacing-cacing itu setengah jam kemudian lalu beliau pun meneruskan khutbahnya.

Setengah jam berlalu paderi pun mengajak hadirin melihat apa yang berlaku pada cacing-cacing itu.

Cacing dalam bekas berisi arak: MATI

Cacing dalam bekas berisi asap rokok: MATI

Cacing dalam bekas ketulan cokelat: MATI

Cacing dalam bekas berisi tanah: HIDUP

Lalu paderi bertanya kepada semua jemaah, APAKAH PENGAJARAN YANG DIPEROLEHI DARI DEMONSTRASI INI?

Seorang jemaah bernama Maxine yang duduk di barisan belakang mengangkat tangan, dan menjawab:

SELAGI ANDA MINUM ARAK, HISAP ROKOK DAN MAKAN COKELAT, ANDA TIDAK PERLU MAKAN UBAT CACING …. !!!!

Pos Popular Minggu ini