Pages

Sunday, June 12, 2011

RASUAH – ISLAM DALAM KEPURAAN


Umat Islam pastinya di antara pelakon yang paling hebat di muka bumi Allah ini. Ucapan dua kalimah syahadat dilafazkan kerana mengikut jejak langkah ibu-bapanya dahulu. Masuk waktu solat, ada yang solat, ada yang tidak. Tiba bulan puasa, ramai berpuasa, ramai juga yang tidak. Ada yang hanya membayar zakat fitrah dan tidak pula membayar zakat selainnya. Apabila tiba musim haji, berjuta-juta manusia ke tanah suci untuk menunaikan rukun Islam yang kelima ini.

Pada waktu dunia memerhatikan kehebatan umat Islam melaksanakan rukun-rukun yang diperintah Allah swt ini, dunia juga dapat memerhatikan bagaimana umat Islam, tentunya bukan berlakon, hebat membunuh sesama sendiri, hidup dalam kemiskinan dan kemelaratan, dan gagal memartabatkan Islam sebagai agama yang cintakan kedamaian.

Yang ketara lagi nyata ialah, umat Islam dilekakan oleh pemimpin mereka yang rakus membolot kekayaan Negara, menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri sendiri dan keluarga. Dan ianya berlaku di setiap Negara yang ramai umat Islam, dan dipimpin oleh orang Islam.

Tidakkah umat Islam merasa malu atau sedih apabila organisasi barat membuat penilaian prestasi setiap Negara setiap tahun termasuk dalam perihal moral seperti amalan rasuah, dan mendapati Negara yang ramai umat Islam berada di tempat terbelakang?

Umum mengetahui iaitu dari 178 negara yang dibuat penilaian BERSIH DARI AMALAN RASUAH, tiada satu pun ‘Negara Islam’ berada di tempat kesepuluh teratas. Yang terbaik ialah Qatar, itu pun menduduki tempat ke 19 dan Malaysia yang pernah disebut-sebut sebagai ‘contoh Negara Islam’ berada di tempat ke 56, turun dari tempat ke 47 berbanding tahun sebelumnya.

Pada ketika pemimpin Melayu sibuk memperkatakan tentang ‘Perpecahan Melayu’, pemimpin yang sama ini jugalah yang menggadai nama baik Islam dengan mengenepikan perintah Allah swt yang menuntut agar mereka lebih telus, adil dan wibawa.

Pada ketika pemimpin Melayu memilih-milih siapa yang patut didakwa dimahkamah kerana rasuah, tidak cukup dengan wang ringgit, kini rakyat di’rasuah’ pula dengan video lucah percuma, diedarkan juga melalui internet, yang sudah tentu bukan sahaja boleh ditonton di rumah, malah sudah tentu boleh ditonton di bengkel komputer di sekolah.

Bilakah agaknya umat Islam akan berubah? Musuh Islam paling besar waktu ini ialah umat Islam itu sendiri. Pemimpin yang rakus, yang secara terbuka mengamalkan ‘politik wang’, yang hanya mementingkan diri sendiri, yang berselindung atas nama membela bangsa, tidak akan mendapat tempat sekiranya rakyat menolaknya.

Dan pada ketika orang bukan Islam sudah boleh menolak amalan batil yang ditegah Islam, umat Islam masih hanyut dan masih tertipu dengan pemimpin yang hanya memakai nama Islam.

Sementara Allah swt masih mengurniakan kita nyawa, dan demi masa depan anak-anak kita, marilah kita membuat perubahan, bersama-samalah kita jadi umat Islam yang lebih bertanggungjawab.

(Malaysia di tempat 56, Denmark, N.Zealand dan S’pura di tangga terbaik, rujuk link berikut:)
http://procentus.wordpress.com/2011/02/10/the-2010-world-corruption-index-by-country/

Pos Popular Minggu ini