Khutbah Jumaat baru-baru ini membawa tajuk kelahiran anak di luar nikah dan kes buang bayi dari kalangan orang Melayu. Jumlah puluhan ribu kelahiran yang dikhabarkan khatib sudah tentu memeranjatkan ramai para jemaah, dan mungkin juga ramai yang sudah mengetahuinya.
Gejala sosial di kalangan remaja, pergaulan bebas tanpa kawalan dikenalpasti sebagai punca meningkatnya kes-kes kelahiran dan pembuangan bayi.
Mesej khatib jelas difahami bagi yang mendengarnya, yang terlena dan khayal dapat juga mesej tersebut walaupun samar-samar seakan memahaminya.
Tujuan khatib tidak lain ialah untuk menyedarkan umat Islam supaya kembali ke jalan Islam. Dan pastinya juga khatib sudah tahu, sebahagian besar kumpulan sasar yang patut mendengar mesej itu tidak ada di kalangan jemaah pada hari tersebut. Yang lebih ramai ialah mereka yang tidak sangat boleh di panggil remaja lagi.
Walaupun begitu mesej khatib amat relevan. Semua yang hadir di masjid hari itu mempunyai peranan dalam masyarakat untuk sama-sama mengatasi dan membenteras masalah sosial ini.
Khatib menegaskan supaya masalah seks bebas ini perlu segera di atasi. Bagi para jemaah yang bukan sangat boleh dipanggil remaja tadi, mesej tersebut adalah jelas dan mudah difahami… Jumaat berlalu.
Tidak lama kemudian, video seks pemimpin Melayu menjadi tajuk utama dalam setiap media. Mesejnya; jangan biar pemimpin yang tak ‘bermaruah’ terus menjadi pemimpin. Yang menyebarkannya; individu-individu yang tak boleh di gelar remaja lagi.
Kalau video seks menjadi salah satu tajuk utama pelbagai media, apakah berita ini terselindung dari remaja-remaja yang perilakunya sudah jauh tersasar dari kehendak Islam? Apakah para remaja tidak akan terfikir bahawa seks bebas mungkin ‘perkara biasa’ di kalangan sesetengah remaja tua?
Mungkin selepas ini video seks perlu dijadikan tajuk khutbah. Inilah agaknya yang disebut politik itu kotor. Yang mengotorkanya adalah mereka yang mungkin tak boleh dipanggil remaja lagi, yang hadir di masjid, celik lena sewaktu khatib berkhutbah.
Kalaulah hendak diharapkan mereka untuk membantu mengatasi masalah sosial yang dihadapi remaja, semua yang terlibat dalam penayangan video ini sama-sama perlu dibantu.
Video sudah luas diedarkan. Nasi sudah menjadi bubur…..dan tak boleh lagi nak ikut pepatah lama kerana yang ini ….. dimakan mati anak. diluah pun mati anak.