Pages

Tuesday, April 26, 2011

POCO-POCO


Duduk bersama rakan-rakan di Restoran Lim Abdullah Chinese Muslim food memberi gambaran keyakinan bahawa makanan Cina yang disediakan ini pastinya halal. Malam ini kami meraikan persaraan seorang sahabat dan sempena bermula era baru kerjayanya sebagai seorang perunding.

Genap enam mangkuk shark fins soup dihidangkan rakan ku Mokhtar mengangkat tangan diikuti yang lain membaca doa.

Selesai berdoa masing-masing menitikkan kicap vinegar ke dalam sup masing-masing untuk menambahkan rasa.

Tiba-tiba Mokhtar yang baru pulang mengerjakan Umrah 2 hari lalu dalam nada perlahan berkata … masa kita di sekolah dulu, aku tak ingat ada membaca doa sebelum makan ni.

Halim: Masuk kampus baru aku perasan budak-budak ABIM atau budak-budak usrah yang mula baca doa ni.

Najib: Kalau yang janggut panjang tu budak tabligh, kalau janggut macam Anwar Ibrahim budak ABIM.

Kalau tak ada janggut? Aku bertanya. Tu budak-budak ragbi, jawab Najib.

Memang sah Setan budak-budak ragbi, kata Mokhtar. Dia dan aku sama-sama main ragbi dari bangku sekolah lagi.

Salleh: Bukan ke baca doa ni dia orang ikut cara kristian. Bila dah banyak tengok TV cerita orang putih, dia orang berdoa sebelum makan, kadang-kadang melutut di tepi katil sebelum tidur dan berdoa.

Masing-masing diam, ada yang merenung ke arah Salleh, dan ada yang terus menghabiskan saki-baki sup dalam mangkuk.

Fuad: Macam poco-poco ikut kristian ke?

Perbualan tergendala kerana siakap tiga rasa, kerapu sweet and sour, udang goring tepung dan pelbagai lagi dihidangkan serentak. Meja besar yang biasa memuatkan sepuluh orang penuh diisi hidangan di atas kaca putar.

Sambil mengambil lauk Fuad menyambung: Kalau kita buat apa yang nabi buat, itu ikut sunnah namanya, tapi kalau nabi tak buat kita pandai-pandai buat, itu bid’ah namanya.

Salleh: Aku makan dengan sudu-garpu ni bid’ah ke tidak? Aku pakai kereta, tak naik unta, tak pakai jubah, boleh dikata bid’ah? Kalau nabi ajar kita berdoa, doa makan tadi nabi ikut kristian ke?

Soalan bertambah hangat, hal-hal bid’ah dan ibadat. Mokhtar yang memulakan tajuk doa tadi meredakan suasana lalu berkata: kesedaran Islam dah jauh berbeza dari zaman kita sekolah dulu. Kau orang ingat berapa orang budak Melayu yang pakai tudung dulu. Kita kat form six ada berapa orang yang pakai. Tapi anak kita, masuk form 1 aje, kita dah suruh pakai.

Nun kristian pun pakai tudung, Salleh mencelah.

Fatwa terhadap poco-poco menjadi perbualan hangat. Masing-masing memberI pandangan tentangnya kerana majlis perkahwinan Melayu kini kerap berakhir dengan tarian ini.

Di akhir jamuan, yang menjadi tanda-tanya, apa perlu pihak mufti mengaitkannya dengan kristian.

Pos Popular Minggu ini