
Kali terakhir aku bertemu dengan rakanku ini iaitu hampir 4 bulan yang lalu, dia begitu ghairah memperkatakan tentang perpecahan Melayu. Dalam pertemuan kali ini keghairahan itu semakin memuncak dan diselubungi perasaan marah kerana katanya orang Cina dah naik tocang (gara-gara kemenangan DAP di PRN Sarawak).
Kemarahan dan kebencian lebih ditujukan kepada Anwar Ibrahim kerana ‘gila kuasa’ dan PAS yang memutarbelitkan Islam. Yang kuat jadi sasaran ialah peribadi Anwar, dibakarnya bagaikan dipanah petir.
Rakanku ini tahu aku tak berminat berpolitik. Bila aku membuka mulut dan tiba-tiba bertanya samaada hatinya tenang bila mendirikan solat, lantas aku dilabelnya orang PAS.
Aku sekadar ingin berkongsi pengalaman dengannya. Aku memberitahu betapa susahnya aku mendidik hati ini untuk kyusyuk bila berhadapan dengan Allah swt. Aku cuba membersihkan hati dari sifat-sifat tercela, dan hilangkan rasa kebencian dan kemarahan (kecuali kemungkaran). Solatku masih berserabut, kataku kepadanya.
Dalam diam rakanku merenung jauh. Setelah lama berdiam dia mengalih pandangan kepadaku dan bertanya … jadi kau tak kisah apa nak jadi dengan orang Melayu?
Bukan begitu, jawapan ku. Aku lihat kebelakangan ini pemimpin Melayu hanyut dalam dunia kebendaan. Yang diberikan kuasa menyalahgunakan kedudukannya. Mereka merasakan kuasa dan kedudukan bagaikan hak mereka. Mereka lupa hak Allah subhanahuwataala. Kalau pemimpin-pemimpin ini terus berada di tempatnya, kita turut bersubahat dengannya.
Aku rasa ini bukan soal Melayu berpecah. Ini soal HATI yang 'pecah'(rosak/kotor). Orang Melayu jika hatinya disinari cahaya Allah subhanahuwataala, mereka tidak akan berlaku curang terhadap sesiapa. Bangsa lain pun ada hati juga. Oleh kerana hati ini sudah bergelumang dengan segala sifat-sifat yang tak baik, bangsa lain melihat melayu, Islam semua tak baik.
Kalau hati ini boleh dibawa ke jalanNya, bukankah itu yang dituntut?